|
NEW DELHI - Polis India telah membuat rumusan bahawa anggota-anggota Pengawal Revolusi Iran telah melancarkan serangan terhadap seorang diplomat Israel di sini pada Februari lalu, menurut satu laporan semalam.
Akhbar Times of India yang memetik siasatan polis melaporkan, lima orang suspek dipercayai bekerjasama dengan seorang wartawan tempatan untuk merancang serangan itu.
Pengawal Revolusi merupakan unit ketenteraan Iran.
Dalam serangan berkenaan, seorang lelaki bermotosikal melekatkan sebutir bom bermagnet pada sebuah kenderaan Kedutaan Israel.
Interpol telah mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadap empat suspek yang dinamakan dalam laporan polis pada Mac lalu.
Namun, buat pertama kalinya, anggota unit tentera Pengawal Revolusi Iran menjadi suspek dalam serangan tersebut.
"Butiran terperinci tentang suspek telah dimaklumkan kepada Iran," menurut akhbar berkenaan.
Akhbar yang sama turut menamakan seorang jurubina Iran, Houshang Afshar Irani sebagai dalang serangan itu dengan dia turut merancang plot berasingan untuk membunuh warga Israel di Thailand dan Georgia pada waktu yang sama.
Perancang utama serangan itu dipercayai polis telah memasuki negara ini dengan menggunakan visa pelancong.
Dia kemudian meninggalkan India selepas percubaan membunuh itu dilakukan.
Pada Mac lalu, seorang wartawan veteran India, Syed Mohammed Kazmi yang bekerja sambilan dengan agensi berita Iran (IRNA) menjadi individu pertama yang ditangkap berhubung serangan ke atas diplomat Israel.
Seorang diplomat Yahudi yang berusia 42 tahun dan isteri atase pertahanan di Kedutaan Israel cedera parah dalam serangan itu yang berlaku dekat kediaman Perdana Menteri, Manmohan Singh di New Delhi.
Israel kemudian menyalahkan Iran ekoran serangan tersebut.
Beberapa penganalisis menyatakan, Iran melakukan serangan balas selepas seorang saintis nuklear negara tersebut mati di Teheran. Iran mendakwa serangan itu dilakukan agensi perisikan Israel, Mossad. - AFP
0 comments:
Post a Comment