Gambar Pekerja Bas Di China Mengira Duit Tambang
Pengangkutan awam bas adalah yang paling terkenal di China. Tambang untuk satu perjalanan adalah 1 yuan (RM 0.50). Jadi setiap petang sebelum balik, konduktor bas akan duduk bersama dan mengira duit tambang yang banyak itu.
Sejarah KejatuhanNilai Mata Wang Di Asia Tenggara 1998
TOKYO 12 Jun – Asia Tenggara mungkin terheret ke dalam gelombang krisis kewangan yang kedua apabila nilai mata wang yen Jepun jatuh ke paras terendah dalam tempoh lapan tahun berbanding dolar Amerika hari ini.
Perangkaan rasmi menunjukkan, ekonomi Jepun mengalami kemelesetan untuk kali pertama dalam tempoh 23 tahun.
Yen, yang jatuh perlahan-lahan berbanding dolar Amerika sejak dua bulan lalu, mencecah paras 144.75 pada urus niaga awal di Tokyo – kali pertama sejak Ogos 1990.
Mata wang Asia Tenggara turut jatuh ekoran kejatuhan yen, dengan mata wang dolar Singapura paling teruk terjejas.
Dolar Singapura berbanding satu dolar Amerika ditutup pada paras 1.7450 hari ini dari 1.7410 semalam.
Ringgit Malaysia pula ditutup rendah pada paras 4.01 hari ini dari 3.94 semalam, manakala rupiah Indonesia pula ditutup pada paras 13,800 hari ini dari 13,700 semalam.
Dolar Taiwan turut merosot apabila ia ditutup pada paras 34.892 hari ini berbanding 34.867 semalam, sementara won Korea Selatan turut jatuh kepada 1,397 hari ini dari 1,390 semalam.
Kejatuhan tersebut mencetuskan kebimbangan di pasaran saham dunia, dengan menyaksikan kejatuhan kedua terbesar pada tahun ini di Wall Street, New York dan kejatuhan teruk di Eropah dalam urus niaga awal hari ini.
Di Kuala Lumpur, indeks komposit bursa saham tempatan merosot 10.63 mata hari ini kepada 472.37 dari 483.00 semalam.
Indeks tersebut mencecah paras terendah dalam tempoh tujuh tahun apabila ia mencapai paras 468.76 pada satu ketika hari ini.
Di Korea Selatan, pasaran saham turut merudum hari ini, dengan merosot sebanyak 8.1 peratus, iaitu kejatuhan terbesar dalam masa sehari.
”Suasana menjadi kelam kabut,” kata seorang wakil niaga Dongwon Securities.
Ketika yen mula menyusut akibat kegiatan pengambilan untung, Tokyo mengumumkan angka pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KNK) terbarunya, yang menunjukkan, ekonomi kedua terbesar di dunia itu susut 1.3 peratus dalam tempoh tiga bulan hingga Mac.
Ini adalah kejatuhan berturut-turut dalam tempoh suku tahun kedua, yang dianggap oleh masyarakat antarabangsa sebagai kemelesetan.
Bagi tahun lepas hingga Mac, ekonomi Jepun menyusut 0.7 peratus, iaitu pengecutan tahunan yang pertama sejak 1974.
Nilai mata wang Jepun jatuh mendadak di seberang laut, susut dua yen berbanding dolar, selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Robert Rubin memberi amaran, yen tidak dapat diselamatkan tanpa pemulihan ekonomi di Jepun.
Beliau turut menyarankan bahawa campur tangan dalam mata wang yen tidak mendatangkan kesan untuk jangka masa panjang.
Pasaran membuat andaian daripada kenyataan Rubin bahawa beliau tidak berhasrat mengarahkan Rizab Persekutuan supaya campur tangan untuk menyokong yen.
Ini menyebabkan kegiatan menjual mata wang tersebut sehingga mengakibatkan nilai yen berada pada paras paling rendah berbanding dengan dolar Amerika dalam tempoh hampir lapan tahun.
Pasaran saham di Thailand jatuh semasa urus niaga sesi pagi, manakala Hang Seng di Hong Kong melonjak sedikit setelah mengalami kejatuhan semasa urus niaga sesi pagi.
Nikkei di Tokyo jatuh ke paras 15,000 mata selepas kejatuhan nilai yen, tetapi meningkat semula secara perlahan sebanyak 1 peratus ketika ditutup.
Pada 4 petang waktu tempatan, nilai yen turun akibat kegiatan mengambil untung dan diurus niaga pada 143.98 – 144.00 yen di Tokyo.
Para pelabur tidak mengendahkan rayuan Perdana Menteri Jepun, Ryutaro Hashimoto pada awal pagi hari ini agar menyokong nilai yen, dan pasaran saham serta nilai yen terus menjunam sepanjang petang ini.
Ryutaro memberitahu pemberita, nilai dolar Amerika pada 144 yen ”tidak menggambarkan” asas ekonomi Jepun.
Di Washington, Penasihat Kanan Bank Dunia bagi rantau Asia Timur dan Pasifik, Pieter Bottelier berkata semalam, kelemahan mata wang yen Jepun dan keengganan negara-negara industri utama menyokongnya boleh menggagalkan usaha bagi membendung krisis kewangan di Asia.
Bottelier memberitahu sidang media bahawa agensi pemiutang ”sangat bimbang” dengan ekonomi dan mata wang Jepun yang kian lemah.
Kejatuhan nilai yen yang seterusnya ”boleh membawa kesan sekunder utama” di rantau yang dilanda krisis ini, tegas Bottelier.
Bottelier berkata, Bank Dunia khuatir dengan keengganan negara-negara industri utama campur tangan dalam membantu Tokyo menghentikan kegiatan penjualan mata wang yen.
”Pada ketika ini, sokongan yang diperlukan (daripada bank-bank pusat) untuk menstabilkan yen didapati tidak diberikan, dan ini merupakan faktor yang membimbangkan.”
Kelemahan nilai yen menyukarkan syarikat-syarikat asing untuk menjual barangan di Jepun.
Kebimbangan turut memuncak bahawa krisis kewangan di Jepun akan menyebabkan ekonomi Korea Selatan, Thailand dan Indonesia lebih sukar untuk pulih dengan meningkatkan eksport.
Pasaran kewangan membimbangkan China yang mungkin tidak dapat mempertahan nilai mata wangnya sendiri sekiranya yen terus jatuh.
Bagaimanapun Bottelier berkata, China memiliki sumber untuk mengekalkan nilai mata wangnya dan Bank Dunia berpendapat, tidak perlu untuk menurunkan nilai mata wangnya.
”Penurunan nilai mata wang langsung tidak munasabah untuk dilakukan,” kata Bottelier. ”Kedudukan rizab mereka tersangat kukuh.”
”Kami tidak meramalkan krisis kewangan berlaku di China,” tambah beliau.
Pasaran bimbang penurunan nilai yuan China boleh menyebabkan satu lagi pusingan penurunan mata wang di Asia dan menjejaskan pemulihan di rantau itu. – Agensi.
0 comments:
Post a Comment