MH17: Agong, Permaisuri Rakam Ucapan Takziah
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH17.
Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa amat dukacita yang tidak terhingga atas insiden yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu yang terhempas di Ukraine Khamis lalu.
“Sesungguhnya negara Malaysia pada ketika ini sedang bersedih dengan tragedi ini,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Baginda berdua menyeru rakyat Malaysia agar berdoa supaya anggota keluarga mangsa diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi situasi yang amat sukar ini.
Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia atas segala usaha yang dilakukan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak bagi merungkai punca kejadian itu.
Pesawat Boeing 777 itu yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila terhempas di Donetsk, wilayah timur Ukraine, pada Khamis lepas. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment