“Wahai Israel, kamu boleh bunuh Muslim, tetapi tetapi kamu tidak boleh bunuh Islam.” - Adnan Januzaj.
Kenyataan berani itu terpampang di laman Twitter milik bintang muda itu dan ia pantas menarik perhatian, apatah lagi ketika penduduk di Gaza terus menjadi mangsa kerakusan Israel yang entah bila akan berakhir.
Januzaj, 19, baru saja selesai mengharungi kempen Piala Dunia bersama Belgium dan kini bersiap sedia untuk menyarung jersi Manchester United untuk musim keduanya. Dia bagaikan tersentak dengan nasib umat Islam di tanah bergolak itu.
Meskipun tiada sebarang ulasan diberikan pemain itu berikutan kenyataannya lantaran dia lebih senang memberikan fokus terhadap karier bola sepak namun ia sedikit sebanyak menunjukkan keprihatinan sesama Muslim yang baginya hidup ‘umpama satu badan’.
Namun, apa yang menariknya, berita mengenai langkah Januzaj yang menyertai skuad senior United tahun lalu sejak menyertai skuad remaja kelab sama pada 2011, mencetuskan sensasi baru dalam kalangan peminat bola sepak.
Ini berikutan dia dikatakan satu-satunya pemain beragama Islam yang berada di United selepas Mame Biram Diouf berpindah ke Hannover pada Januari 2012.
Pemain itu dibawa masuk ke United dari Akademi Anderlechts pada 2011 dan lebih menarik lagi, United berjaya mengenepikan Barcelona untuk mendapatkan pemain muda itu pada harga hanya £297,000 (RM1.6 juta).
Malah, dia turut mendapat pujian bekas pengurus United, Alex Ferguson yang menyedari bakat besar dimilikinya.
“Adnan seorang pemain yang seimbang. Dia baru berusia 18 tahun dan masih belum cukup dewasa, tetapi memiliki keseimbangan yang bagus, kepantasan hebat dan mempunyai teknik yang bagus,” puji Ferguson.
Meskipun jawatan pengurus kelab itu kemudiannya digalas David Moyes dan kini Louis van Gaal, Januzaj berharap mampu meneruskan perjuangannya di kelab yang banyak menaikkan namanya dalam tempoh singkat.
Bakat dimiliki Januzaj, pemain keturunan Kosovo-Albania dan dilahirkan di Brussels itu turut menjadikannya ‘trofi rebutan’ apabila dikatakan layak mewakili Belgium, Albania, Turki dan Serbia! Ibu bapa pemain itu berpindah ke Brussels kerana melarikan diri daripada Peperangan Kosovo pada awal 90-an.
Namun, Januzaj kemudian memilih untuk berbakti kepada Belgium, negara kelahirannya dan bukannya di Albania, negara datuk neneknya atau England, tempat dia mencari makan.
Tindakannya itu mencetuskan kemarahan penduduk Kosovo-Albania yang mengancam mahu membunuhnya kerana keputusannya itu.
Namun jika difikirkan pencapaian Belgium yang mara hingga ke suku akhir Piala Dunia, tindakan berkenaan mungkin satu pertaruhan berbaloi untuk kariernya sebagai pemain muda yang mempunyai masa depan cerah.
Meskipun kurang menyerlah di Brazil lantaran masih mentah di kancah antarabangsa, Januzaj yang dikatakan ‘bayangan Ronaldo’ di United, mampu mencapai lebih banyak kejayaan selepas ini apatah lagi dengan imej sebagai pemain Muslim muda. - myMetro
0 comments:
Post a Comment