PETALING JAYA: Pengacara dan personaliti televisyen, Azwan Ali
menegaskan dia sudah serik dan tidak mahu lagi terbabit dengan sebarang
perbalahan dan kontroversi seperti sebelum ini.
Azwan berkata, dia berharap kemunculan semulanya di persada hiburan
tanah air selepas empat tahun setengah menyepi dapat dimanfaatkan untuk
menghasilkan program televisyen dan kerja seni yang baik kepada
masyarakat.
“Empat tahun setengah saya mendiamkan diri tetapi masih ramai peminat
yang menantikan dan merindui kemunculan saya. Saya sedar ada segelintir
pihak yang tidak suka tetapi saya tidak peduli mengenai perkara itu.
“Kalau boleh, pada tahun ini saya sudah tidak mahu lagi terlibat
dalam kontroversi atau pergaduhan dengan mana-mana individu. Saya mohon
kemaafan pada semua atas kesilapan saya dan mahu hentikan semua
kontroversi yang pernah saya cetuskan sebelum ini,” katanya kepada mStar Online.
Pengacara program Cit Cat Azwan Ali itu berkata demikian ketika ditemui pada acara jelajah program MasterChef Selebriti di pusat belah belah One Utama di sini, baru-baru ini.
Azwan berkata, dia berasa bersyukur dan gembira kerana kemunculannya
semula dalam industri hiburan mula mendapat respons yang positif
daripada pelbagai pihak termasuk stesen televisyen dan media.
“Saya bersyukur dengan reaksi positif sejak saya muncul semula dalam
beberapa program televisyen pada tahun ini. Stesen televisyen dan media
yang pernah bersikap dingin kepada saya sebelum ini mula memberikan
peluang.
“Saya bakal terlibat dalam beberapa projek program televisyen swasta
dalam waktu terdekat. Malah, saya juga mula mendapat liputan daripada
media kebelakangan ini. Ia perkembangan yang baik,” katanya.
Ditanya mengenai kritikan penonton berhubung kontroversi yang dicetuskan dalam program MasterChef Selebriti yang
kini ditayangkan di Astro Ria, Azwan berkata dia hanya menjadi dirinya
sendiri sepanjang terlibat dalam program realiti masakan itu.
“Saya tidak perlu hipokrit atau menjadi orang lain hanya kerana
terlibat dalam program realiti. Apa juga yang dilihat dalam program itu
adalah warna sebenar saya dan bukan gimik yang diaturkan oleh Astro.
“Rasanya ramai sudah tahu perangai sebenar saya. Walaupun ramai yang
mencemuh dan mengkritik, ada juga yang suka dan menonton kerana ingin
melihat kerenah dan perangai telus saya dalam program itu,” katanya.
Selain Azwan, antara barisan selebriti yang turut serta adalah Raja
Azmi, Juliza Adlizan, Datuk Fazley, Dr Faiz, Angah (Raja Lawak), Farouk
Hussain dan Siti Sarah Raisuddin.
MasterChef Selebriti kini disiarkan pada setiap Sabtu hingga Selasa pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104).
0 comments:
Post a Comment