KUALA LUMPUR – Polis hari ini menembak mati salah seorang daripada tiga suspek yang disyaki terbabit menembak dua anggota polis peronda di Jalan Kuchai Lama, di sini, Rabu lalu.
Dalam insiden kira-kira jam 3 pagi tadi, suspek berusia 32 tahun itu melarikan diri apabila kereta jenis Proton Waja yang dipandunya cuba ditahan polis berhampiran pusat membeli-belah Mid Valley di sini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek yang menaiki kereta itu seorang diri enggan berhenti lalu dikejar anggota polis sehingga kenderaan suspek terbabas di kawasan parkir Taman Desa Water Park.
“Apabila anggota polis menghampiri kenderaan tersebut untuk membuat pemeriksaan, suspek keluar daripada keretanya dan melepaskan beberapa das tembakan,” katanya pada sidang media di sini.
Ku berkata, sebagai langkah mempertahankan diri, anggota polis terpaksa membalas tembakan sehingga suspek terbunuh di tempat kejadian.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol semi automatik berwarna silver mengandungi sebutir peluru hidup, satu kelopak mengandungi sebutir peluru hidup 9mm jenis Luger, dua butir kelongsong peluru jenis Luger dan sebuah kapak dalam kereta terbabit.
Beliau berkata, kenderaan yang digunakan suspek dilaporkan hilang di Kelana Jaya pada Ogos lalu.
Katanya, mayat suspek dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
Katanya, mayat suspek dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
Ku berkata pihak polis sedang mengesan dua lagi individu iaitu Wan Fadrulzaman Wan Mohamad Fadil, 30, berasal dari Lanchang Mentakab, Pahang dan seorang remaja berusia 17 tahun untuk membantu siasatan kes itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang Rabu lalu, Koperal R. Subramanian, 52, dan Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, ditembak ketika cuba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki di persimpangan lampu isyarat di kawasan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya berdekatan Kuchai Lama di sini.
Subramaniam cedera di bahagian perut dan rakan setugasnya Nor Azlan cedera di leher dan keadaan mereka dilaporkan stabil di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment