PETALING JAYA – Pelakon Almy Nadia membuat keputusan untuk mengunci mulut daripada memberi sebarang kenyataan berhubung pertunangan Fizz Fairuz dengan seorang wanita kerana khuatir dengan pelbagai risiko yang tidak dijangka.
Almy Atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, dia bimbang jika tersalah memberi kenyataan akan muncul pihak-pihak lain yang akan mengecamnya dan keluarga.
“Saya tidak mahu komen apa-apa. Saya tahu, ada pihak-pihak tertentu sedang memerhatikan salah silap saya. Jika tersalah cakap, mungkin saya akan terima kesan buruk. Sebab itulah lebih baik saya tidak banyak memberi komen,” katanya kepada mStar Online pada Jumaat.
Kontroversi mengenai status hubungan antara Almy dan Fizz Fairuz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 34, tercetus apabila foto majlis pertunangan pemuda itu dengan seorang wanita telah tersebar di Internet.
Majlis pertunangan mereka dikatakan berlangsung di Taman Pelindong Damai, Beserah, Kuantan, Pahang pada 10 Februari lalu. Dipercayai Almy yang selama ini diketahui sebagai kekasih kepada Fizz terkejut dengan hal berkenaan.
Selepas beberapa hari gagal mendapatkan Almy, akhirnya pelakon itu menjawab panggilan mStar Online selain memohon maaf sambil menjelaskan dia terlalu sibuk menjalani penggambaran Cermin Kasih Amira yang bakal ditayangkan di RTM tidak lama lagi.
Berikut ini adalah temu bual mStar Online bersama Almy berhubung kontroversi pertunangan Fizz.
Maafkan kami kerana bertanyakan soalan sama seperti media-media lain. Apa komen Almy mengenai pertunangan Fizz dengan seorang wanita pada Ahad lepas?
No comment.
Fizz atau Almy pernah berhubung sesama sendiri selepas pertunangan itu?
Saya tak mahu komen.
Seperti dilaporkan portal murai.com Fazli Zainal ada memberitahu yang Fizz telah memaklumkan kepadanya bahawa Almy dan Fizz sudah dua tahun putus cinta. Benar begitu?
Maafkan saya, saya tidak tahu apa-apa dan penat untuk memberi kenyataan. Lebih baik tanya Fizz kerana bukan saya yang bertunang. Putus atau tidak, saya tidak mahu bersuara selagi dia tidak memberikan kenyataan, nanti kata saya pula yang memandai-mandai.
Tertekan apabila sering disoal tentang Fizz?
Saya tak tahu nak cakap apa. Tetapi macam biasa saya jawab apa yang terdaya. Lagipun saya tak buat salah, buat apa nak lari. Lainlah kalau saya buat salah, saya larilah daripada pihak media.
Apa yang Almy takut sampaikan sikit pun tak mahu komen?
Maafkan saya sekali lagi. Tetapi saya tahu ada pihak yang sedang menunggu saya mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan pertunangan Fizz dan kemudian mereka akan mengenakan saya pula.
Biarlah… dia (Fizz Fairuz) dah pun menjadi tunangan orang. Risau juga dibuatnya kalau orang datang dan cuba ugut dan kacau saya pula nanti. Dah bertambah masalah pula.
Siapa pihak (yang akan mengecam) yang dimaksudkan itu?
Saya tak boleh nak cakap.
Jadi apa yang Almy nak buat sekarang?
Saya akan pastikan tidak menjawab apa-apa langsung berkaitan dia (Fizz). Cuma saya kena pandai jawab dan tepis soalan yang boleh mengundang tidak puas hati kepada pihak lain. Jika salah cakap, saya akan dihentam pula.
Fizz sudah memulakan fasa hidupnya yang baru, Almy pula bagaimana?
Saya tak tahu. Saya dan Fizz sudah tujuh tahun (bercinta). Entahlah. Saya nak fokus kepada karier dan anak (angkat) saya, Nur Afrina Darwisya.
Serik bercinta?
Saya tak tahu.
Apa komen keluarga Almy
Ibu sering menasihati dan menghubungi saya setiap hari, dia risau jika saya terlalu memikirkan masalah. Kalau saudara mara yang bertanya, ibu yang uruskan untuk menjelaskan perkara sebenar kepada mereka. – mStar
0 comments:
Post a Comment