SEOUL : Populariti penyanyi rap dari Korea Selatan, Park Jae-sang atau lebih dikenali sebagai Psy mencatat fenomena baharu di seluruh dunia selepas aksinya menari tarian kuda, Gangnam Style, ditonton lebih 84 juta kali setakat ini di YouTube.
Psy kini dilaporkan lebih popular daripada muzik pop Korea Selatan atau K-Pop, malah, satu tinjauan oleh sebuah agensi pelancongan tempatan mendapati Psy sebagai bintang Korea Selatan yang paling ingin ditemui oleh warga asing.
Menurut agensi pelancongan Cosmojin yang melakukan tinjauan itu, Psy menduduki tempat pertama senarai berkenaan diikuti bintang bola sepak Korea Selatan, Park Ji Sung, Presiden Lee Myung Bak dan bintang luncur ais, Kim Yuna.
Mula mewarnai dunia muzik Korea Selatan dengan album pertamanya, PSY… From the Psycho World! pada 2001, penyanyi berkenaan mengaku muziknya menyimpang daripada K-Pop.
Penyanyi berkenaan lebih gemar menampilkan muzik berunsur sinis dan satira.
Dia pernah dikenakan sejumlah denda setelah album sulungnya didapati mengandungi kandungan yang tidak sesuai manakala album keduanya Ssa 2 diharamkan di negara berkenaan pada 2002.
Sejak dari itu, Psy dikenali sebagai penyanyi kontroversi dengan popularitinya juga tenggelam timbul. – Kosmo
0 comments:
Post a Comment