Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, January 27, 2013

One Comment
Gambar Hiasan
Bila sebut sahaja menutup aurat, ramai orang lebih memfokuskan kepada pemakaian tudung semata-mata. Jika tutup kepala dengan tudung, ia sudah dikira tutup aurat. Namun secara hakikatnya, itu satu persepsi yang silap. Kini, wanita muslimah terpengaruh dengan busana dan fesyen-fesyen barat dalam berpakaian. Dan ada diantara mereka tidak menyempurnakan kewajipan mereka dalam melaksanakan hijabul muslimah yang sebenar, mereka memakai tudung tapi tidak menutup aurat kecuali rambut sahaja, berbaju tapi ketat, pendek dan jarang.
Islam merupakan satu cara hidup yang lengkap, meliputi tatacara hidup dunia dan akhirat, peribadi dan masyarakat, aqidah dan akhlak dan sebagainya.
Islam meletakkan wanita ke satu darjat yang tinggi dalam masyarakat, di mana wanita dianggap suci dan dipelihara serta dilindungi kesuciannya sehingga tiada yang boleh melihat auratnya kecuali keluarga yang rapat sahaja. Tujuan pemeliharaan ini adalah untuk menjaga kemuliaan masyarakat agar lahir di sana sebuah masyarakat yang terpelihara maruahnya.
Kewajiban menutup aurat ke atas wanita tidak boleh diperbahaskan menurut lojik akal semata bahkan perlu dilihat sebagai hak wewenangan Allah SWT dalam menentukan hukum demi memelihara kesejahteraan makhlukNya.
Islam menjadikan wanita itu indah pada pandangan lelaki, perhiasan dunia dan penyejuk mata. Ini berdasarkan beberapa ayat dan Hadis Rasulullah SAW. Lelaki pula dicampakkan rasa cenderung kepada wanita, dalam sesetengah keadaan menempati tempat pertama di hati lelaki berbanding perhiasan dunia yang lain seperti harta, pangkat dan lain-lain. Ini terbukti jika diperhatikan, anak remaja lelaki, dalam usia awal belasan tahun sudah pandai memuja wanita dan menyintai wanita sedang mereka belum merasai kehendak mengumpulkan harta dan merebut pangkat.
Allah SWT, Pencipta, Pemelihara dan Pengurus diri kita dan seluruh alam ini, Dia Maha Bijaksana, Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya, menetapkan hukum menutup aurat ke atas wanita sesuai dengan fitrahnya yang halus, suci, pemalu dan indah, di samping di sana ada segolongan hambaNya yang lelaki yang sangat mengidamkan wanita, semua ini demi memelihara kesucian masyarakat dari perkara-perkara yang boleh membawa kepada maksiat yang besar atau kecil seperti pergaulan bebas dan kemuncaknya ialah zina.
Allah SWT melalui ayat-ayat suciNya dan Hadis-hadis Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa asas dalam menyempurnakan kewajiban menutup aurat .
Di sini, saya turunkan beberapa syarat asas dalam menutup aurat seperti yang dikehendaki syara’:
1. Seluruh tubuh adalah aurat:
Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung kaki adalah aurat yang wajib ditutup, kecuali wajah dan dua telapak tangan (termasuk belakang tangannya). Hal ini berlandaskan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.” [AQ: An-Nur (24):31].
Yang di maksud “wa laa yubdiina ziinatahunnaa” (janganlah mereka menampakkan perhiasannya), adalah “wa laa yubdiina mahalla ziinatahinnaa”, maksudnya janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan. [Lihat Abu Bakar Al-Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal. 316].
Selanjutnya, kalimah “illa maa zhahara minhaa” [kecuali yang (biasa) nampak darinya], ini bermaksud, ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah [Al-Albani, 2001:66].
Ibnu Jarir Ath-Thabari (wafat 310H) menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Jami Al-Bayan fi Tafsir Al-Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di maksud “kecuali yang (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”, katanya, pendapat yang paling mendekati kebenaran adalah yang mengatakan bahawa, yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) adalah wajah dan dua telapak tangan.
Selain itu di sana ada syarat bagi tudung wanita, firman Allah (bermaksud)
“Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.” [ Al-Ahzab (33):59].
Oleh sebab Al-Quran adalah berbahasa Arab, dan perkataan “jilbab” itu adalah perkataan Arab, maka kita hendaklah memahami apakah yang dimaksudkan “jilbab” di dalam bahasa Arab. Dengan kata lain, kita hendaklah memahami dan mengikuti apakah yang orang Arab faham bila disebut jilbab. Maka inilah pakaian yang diperintahkan oleh Allah kepada perempuan. Di samping itu, perincian tentang pakaian ini telah pun dijelaskan di dalam banyak hadis sahih yang wajib diikuti oleh setiap orang.
Jadi, apakah makna jilbab itu? Selain dari melihat sendiri kepada nas-nas hadis tentang pakaian yang dipakai Muslimah semasa zaman Rasulullah, kita juga boleh merujuk kepada banyak kamus Arab untuk mengetahui makna “jilbab”. Dalam kitab Al-Mu’jam Al-Wasith karya Dr. Ibrahim Anis [Kaherah: Darul Maarif ms 128], jilbab diertikan sebagai ats-tsaubul musytamil ala al-jasadi kullihi (pakaian yang menutupi seluruh tubuh), atau ma fauqa ats-tsiyab kal milhafah (pakaian luar yang dikenakan di atas pakaian rumah, seperti milhafah (seperti jubah), atau al-mula’ah asy-tamilu biha al-mar’ah (pakaian luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita).
Berdasarkan pengertian ini, jelaslah bahawa yang diwajibkan ke atas wanita adalah mengenakan pakaian yang satu (sekeping) yang lurus dari atas hinggalah ke bawah, yakni hingga ke mata kaki. Maksud milhafah/mula’ah (Arab) adalah pakaian yang dikenakan sebagai pakaian luar [di dalamnya masih ada pakaian dalam (pakaian rumah) atau pakaian sehari-hari tetapi bukan hanya coli dan seluar dalam] lalu diulurkan ke bawah hingga menutupi kedua mata kakinya. Untuk pakaian atas, wanita disyariatkan/diwajibkan memakai “khimar” iaitu tudung atau apa sahaja bahan/kain yang serupa dengannya yang berfungsi menutupi seluruh kepala, leher, dan lubang leher baju di dada.
Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah,
“Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [TMQ An-Nur (24):31].
Pakaian jenis ini (jilbab dan khimar) wajib dipakai oleh seorang Muslimah (yang telah baligh) apabila hendak keluar menuju ke pasar-pasar atau berjalan melalui jalanan umum. Setelah memakai kedua jenis pakaian ini (jilbab dan khimar) maka barulah dibolehkan baginya keluar dari rumahnya tanpa sebarang dosa. Jika tidak, maka dia tidak boleh (haram) keluar dari rumah kerana perintah yang menyangkut kedua jenis pakaian ini datang dalam bentuk yang umum, dan tetap dalam keumumannya dalam semua keadaan. Mana-mana wanita yang telah baligh dan melanggar ketetapan Allah ini, maka berdosalah mereka dan layak mendapat seksa Allah di akhirat nanti.
Berdasarkan huraian ini,tudung pendek yang sering dipakai wanita hari ini,yg melekat pada badan,tidak menutupi dadanya adalah tidak memenuhi syarat bertudung dalam al Quran.
2.Bentuk dan jenis pakaian
Berdasarkan hal ini maka setiap bentuk dan jenis pakaian yang dapat menutupi aurat iaitu yang tidak menampakkan aurat dianggap sebagai penutup bagi aurat secara syar’i, tanpa melihat lagi bentuk, jenis, atau fesyennya.
a) Pakaian hendaklah tebal
Syara’ telah mensyaratkan dalam berpakaian agar pakaian yang dikenakan dapat menutupi kulit. Jadi pakaian wajib dapat menutupi kulit sehingga warna kulitnya tidak diketahui. Jika tidak, maka tidak dikatakan menutup aurat. Oleh kerana itu apabila kain penutup itu tipis/transparent sehingga nampak warna kulitnya dan dapat diketahui sama ada kulitnya berwarna merah atau coklat, maka kain penutup seperti ini tidak boleh dijadikan penutup aurat dan haram hukum memakainya.
Usamah bin Zaid pernah menceritakan bahawa rasulullah s.a.w telah menerima hadiah sejenis kain Qibtiah yang kurang tebal daripada Dahiyah Al-Albi dan Rasulullah s.a.w pula menghadiahkan kain tersebut kepada beliau , untuk dibuat pakaian tetapi Usamah memberikan kepada isterinya.
Suatu hari rasulullah s.a.w bertanyakan Usamah : “Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?” Usamah menjawab :” Saya telah berikan kepada isteri saya”. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepada Usamah :” Suruhlah isterimu mengalaskan kain tersebut dengan kain yang lain di bawahnya, kerana aku bimbang jika kain Qibtiah itu tidak dialas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang-tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu)”.
b) Tidak terlalu licin dan lembut
Selain daripada itu, pakaian wanita hendaklah dibuat dari kain yang tidak terlalu licin dan lembut hingga melekat di tubuh dan membayangkan kulit pemakainya. Pakaian yang dibuat daripada kain-kain tersebut boleh mempamerkan rupa bentuk anggota badan wanita yang boleh mengghairahkan lelaki yang memandangnya.
c) Tidak berwangi-wangian pada pakaian dan badan.
Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina”.
d) Pakaian itu tidak menyerupai pakaian lelaki.
Ini bermaksud fesyen yg tidak menyerupai lelaki, seperti wanita berkemeja dan berseluar panjang sehingga orang menyangka itu adalah lelaki, maka hukumnya haram.
e) Pakaian itu tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir atau musyrik.
Dengan memakai pakaian yang menutup aurat, seseorang wanita telah menunjukkan harga diri sebenar seorang wanita dan sekaligus menghindari perbuatan tidak senonoh di kalangan para lelaki terhadap wanita.

1 comments:

  1. setuju sangat..

    ...................
    Elok dibaca blog ini:
    Supaya wanita Melayu kita sedar tentang AURAT..

    http://wanitamelayuseksa.blogspot.com

    ReplyDelete