Tidak Sedar Rumah Terbakar - PELABUHAN KLANG : Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman yang didiami hampir 10 tahun lalu di tingkat dua, Blok C, Pangsapuri Seri Perantau, di sini, terbakar menyebabkan kesemua perabot dan barangan berharga lain musnah, semalam.
Berikutan kebakaran itu, keluarga terbabit menanggung kerugian hampir RM100,000.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu juga nyaris menyebabkan seorang ahli keluarga yang sedang tidur rentung.
Menceritakan detik cemas itu, Azizul Anuar Abu Karim yang juga pelajar tahun satu Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Pantai Timur berkata, semasa kejadian dia sedang tidur di ruang tamu dan hanya menyedari sebuah bilik terbakar setelah dikejutkan nenek, Rajamal Kantan, 79, yang baru pulang dari kedai.
“Sebaik menyedari kejadian itu, saya bergegas keluar dari rumah bersama nenek. Saat itu kami panik dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan.
“Kami menjerit minta tolong jiran-jiran berdekatan sebelum ibu, Noorsiah Judin, 48, yang sedang berniaga makanan di gerai berdekatan muncul di blok ini,” katanya.
Kebakaran yang berlaku dalam jangka masa pendek itu turut memusnahkan pakaian dan peralatan sekolah lima anak Noorsiah termasuk tiga bilik tidur kediaman itu rosak teruk.
Noorsiah yang juga ibu tunggal anak lapan berkata, ketika kejadian dia sedang berniaga makanan di gerai Majlis Perbandaran Klang (MPK) berdekatan pangsapuri itu.
“Saya menyedari rumah saya terbakar selepas dimaklumkan jiran terdekat dan bergegas pulang ke rumah kerana khuatir keselamatan anak yang sedang tidur,” katanya.
Menurutnya, tiada satu pun barangan yang berjaya diselamatkan memandangkan hanya seorang anak yang berada di rumah sewaktu kejadian.
“Saya tinggal di rumah yang dibeli arwah suami ini bersama empat ahli keluarga termasuk ibu dan dua anak. Manakala anak-anak lain tinggal berasingan kerana ada yang sudah berkahwin dan juga bekerja serta belajar di luar kawasan. Bila cuti, baru mereka pulang ke sini.
“Bagaimanapun sempena cuti umum beberapa hari ini sejak kelmarin, hampir semua anak saya pulang ke sini untuk bercuti bersama-sama,” katanya.
Akibat kejadian itu, Noorsiah terpaksa menumpang sementara di rumah seorang anaknya yang sudah berkahwin di blok bersebelahan sementara menanti rumahnya dibersihkan dan dibaiki semula berikutan kerosakan yang dialami amat serius.
Dalam kejadian itu, kediaman bersebelahan rumah mangsa turut mengalami kerosakan, bagaimanapun hanya bahagian dapur yang terkena bahang kebakaran itu. – Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment