Bapa Ratah Anak, Setiap Seorang Setiap Malam - KOTA KINABALU : Pada pandangan luaran, dia dianggap seorang bapa bertanggungjawab kerana membesarkan sendiri tiga anak gadisnya sejak berpisah dengan bekas isteri, kira-kira lima tahun lalu.
Namun, perbuatan jijik duda berusia 40-an itu terbongkar kelmarin apabila seorang daripada anak perempuannya mendedahkan episod hitam yang ditanggungnya bersama dua kakak sejak lebih enam bulan lalu kerana terpaksa menjadi pemuas nafsu bapa kandung sendiri.
Lebih mengaibkan, tiga beradik berusia 11, 13 dan 14 tahun itu dirogol bapa mereka secara bergilir-gilir, seorang demi seorang pada satu malam.
Ketiga-tiga mangsa yang bersekolah di daerah ini bimbang mengadu perbuatan kejam bapa mereka kepada orang luar terutama pihak berkuasa kerana khuatir lelaki itu bertindak lebih kejam.
Bagaimanapun, tembelang bapa durjana itu terbongkar apabila anak bongsunya secara tidak sengaja menceritakan kejadian dialaminya kepada ibu saudaranya yang tinggal berhampiran rumah mereka, kelmarin.
Ibu saudara mangsa yang terkejut dengan pengakuan itu melaporkannya kepada ibu kandung mereka di Sandakan yang segera menghubungi anak sulungnya berusia 18 tahun yang bekerja di bandar raya ini supaya mengambil kedua-dua adiknya sebelum membuat laporan di Balai Polis Kota Marudu, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan berkata, siasatan sedang dijalankan.
“Ketiga-tiga mangsa hadir ditemani kakak, ibu dan ibu saudara mereka ketika membuat laporan di balai polis.
“Bagaimanapun, polis yang berkunjung ke rumah suspek sebaik menerima laporan hampa apabila mendapati lelaki berkenaan tiada di rumah dan dipercayai sudah melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, tiga beradik itu mendakwa sering dirogol bapa mereka ketika nyenyak tidur dalam bilik sebelum ditarik ke biliknya seorang demi seorang bagi memuaskan nafsunya.
“Anak suspek berusia 14 tahun turut mengaku pertama kali dirogol pada Januari lalu dan kejadian terakhir pada awal bulan lalu.
“Mangsa yang berusia 13 tahun pula mendakwa dirogol pada pertengahan Mei hingga Jun lalu, manakala adik bongsu mereka berusia 11 tahun mengalami nasib sama bermula awal Jun lalu,” katanya.
Menurut Mohd Isa, berdasarkan siasatan, ketiga-tiga mangsa dipercayai merahsiakan kejadian itu daripada pengetahuan orang lain berikutan bimbang tindakan balas lelaki berkenaan.
“Berikutan itu, suspek mula melakukan sesuka hati termasuk merogol anak kandungnya seorang demi seorang apabila tiba waktu malam kerana hanya mereka saja tinggal di rumah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, semua mangsa sudah dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk pemeriksaan kesihatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. –
0 comments:
Post a Comment