TIMBALAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tiba dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda petang tadi rumah penginapannya di kawasan Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah sambil diiringi kawalan ketat anggota Unit Tindakan Khas (UTK).
Walaupun tahu tanggungjawab besar yang sedang ditanggungnya sekarang, Khalid berjaya menyembunyikan keresahannya itu.
Beliau masih mampu tersenyum ketika disambut para pegawai kanannya.
Khalid dilihat tenang mengatur langkah satu persatu dengan penuh yakin dan bergaya.
Yang pasti, ini bukanlah kali pertama beliau sampai di zon konflik ini, cuma mungkin kali ini tanggung jawab itu lebih berat apatah lagi bosnya, Tan Sri Ismail Omar sekarang berada di ibu negara untuk mengendalikan pelbagai tugas lain di sana.
Sebaik sahaja melihat kami, beliau tidak menunggu lama untuk mempelawa kami duduk di satu sudut berhampiran tempat penginapannya itu.
Beliau kemudiannya terus memesan secawan Teh O panas untuk menghilangkan dahaga.
” Maaf menunggu, saya baru balik dari melawat Kampung Tanduo dan beberapa perkampungan yang terbabit dengan pertempuran dengan pihak keselamatan kita,” katanya kepada Mynewshub.my sambil menghela nafas panjang.
Untuk rekod, Khalid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 14 April tahun lalu.
Beliau yang ketika itu Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dilantik ke jawatan berkenaan bagi menggantikan Datuk Hussin Ismail yang bersara.
Khalid, 54, yang juga bekas Ketua Polis Selangor memegang jawatan itu menggantikan Hussin yang memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Negara sejak September 2010.
Dalam pertemuan kami petang tadi, turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang.
” Sayang sekali…kawasan Kampung Tanduo itu sangat cantik dan indah, tetapi disebabkan kerakusan puak penceroboh ini, segalanya telah musnah,” katanya memulakan perbualan kami.
Air muka Khalid ketika ini ternyata berubah bila bercakap mengenai hasil tinjauannya ke kampung itu dan kawasan sekitarnya.
Menurut beliau, keindahan kawasan pantainya membuatkan dirinya seolah-olah berada di sebuah pantai peranginan yang terkenal di luar negara.
Jelas Khalid, pasir di pantai itu bersih memutih, airnya mengalir indah dan hembusan angin lautnya sangat menyegarkan.
Sambil berseloroh, Khalid berkata, mungkin itu salah satu sebab mengapa pengganas mahukan kawasan berkenaan.
” Kalau suatu hari nanti kamu berkesempatan masuk ke kampung itu, kamu akan rasa apa yang saya saksikan dan lihat petang tadi,” katanya bersungguh-sungguh.
Mengulas lanjut mengenai insiden ini, Khalid berkata, beliau bersyukur apabila kerajaan memutuskan untuk membina lebih banyak lagi balai polis di situ kerana ia merupakan satu perkara yang sangat penting bagi menjaga kedaulatan Sabah khususnya dan Malaysia amnya.
Dalam pada itu, kata Khalid, di kawasan Felda Sahabat ini dan kawasan sekitar khususnya, akan turut dilakukan operasi bagi membanteras apa saja masalah sosial dan jenayah termasuk penyeludupan, dadah dan sebagainya bagi memastikan penduduk di situ berasa aman, tenang dan tenteram.
” Sekarang ini mungkin kita lebih menumpukan usaha menangani masalah pencerobohan ini, lepas ini saya nak pastikan kawasan di situ akan bebas pula dari segala perkara yang saya sebutkan tadi sekiranya ada.
” Ia masih merupakan cabaran besar kerana kawasannya luas, perairannya pula bukan kecil tetapi demi rakyat, kita akan jalankan tanggungjawab itu walau apa rintangannya,” tegas beliau.
Perbualan kami terhenti apabila azan Maghrib berkumandang.
Khalid kemudiannya meminta diri untuk bersolat.
Yang pasti, selepas itu beliau akan menghadiri pula mesyuarat dengan para pegawai kanannya yang lain.
Semoga Allah memberikan kekuatan kepada beliau dan seluruh warga keselamatan untuk menjaga negara yang tercinta ini.
Semoga selamat di sana! - Siakapkeli.com
0 comments:
Post a Comment