Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, July 27, 2013

No Comment
7 minit rompak kedai emas

NILAI – Sekumpulan perompak bersenjatakan pistol mengambil masa hanya kira-kira tujuh minit untuk melarikan tujuh dulang barangan kemas dalam satu kejadian rompakan di sebuah kedai emas di Pekan Mantin, di sini, semalam.

Bukan sahaja mengambil masa yang singkat, malah perompak berkenaan berani melakukan jenayah meskipun kedai emas itu terletak kira-kira 200 meter dari Balai Polis Mantin.

Dalam kejadian kira-kira 1 petang itu, lima lelaki yang memakai topi keledar terbabit berjaya melarikan barangan kemas bernilai hampir RM500,000.

Pemilik kedai emas yang enggan dikenali, 50-an, berkata, ketika kejadian dia bersama tiga lagi pekerjanya berada di dalam premis.

“Secara tiba-tiba muncul lima lelaki memakai topi keledar dan bersenjatakan pistol. Salah seorang suspek melepaskan satu das tembakan amaran sebelum rakannya yang lain bertindak memecahkan cermin pameran menggunakan tukul besi.

“Mereka memasukkan tujuh dulang barangan kemas dalam sebuah beg,” katanya.

Menurutnya, dia sempat mengambil sepucuk senapang patah miliknya yang disimpan di bawah meja dan terus melepaskan satu das tembakan ke arah suspek, namun tersasar.

“Kesemua mereka terkejut dengan tembakan itu dan terus melarikan diri dengan menaiki tiga motosikal yang diletakkan berhampiran kedai,” katanya.

Katanya, meskipun mengalami kerugian yang besar, namun dia bersyukur kerana dirinya dan tiga pekerja tidak dicederakan.

“Mujur kami semua selamat dan tiada pelanggan di dalam premis ketika kejadian berlaku.

“Saya sudah berniaga di sini hampir 20 tahun dan ini kali pertama kedai saya dirompak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, siasatan awal mendapati kemungkinan beberapa pucuk pistol yang digunakan suspek adalah palsu.

“Kita menemui sepucuk pistol mainan tidak jauh dari premis berkenaan. Kemungkinan ia terjatuh ketika suspek tergesa-gesa melarikan diri.

“Bagaimanapun, kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan untuk mengesan identiti suspek terlibat,” katanya.

0 comments:

Post a Comment