BULAN Ramadan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini sememangnya bulan yang dicari-cari oleh umat Islam.
Bukan sahaja ganjaran pahala yang diberikan Allah SWT berlipat kali ganda, malah peluang untuk menjana pendapatan dan rezeki turut bertambah.
Mana tidaknya, ramai antara kita yang menjalankan perniagaan di bulan Ramadan ini tidak kira secara kecil di rumah mahupun besar di bazar-bazar Ramadan.
MyNewsHub telah membuat tinjauan serta menemubual beberapa peniaga di bazar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Isnin.
Menurut Asdamawi, 50, yang telah meniaga tudung hampir lapan tahun di bazar tersebut menyifatkan jualan sempena Aidilfitri pada tahun ini amat memberangsangkan.
“Alhamdulillah, tahun ni memang puas hatilah. Jika dibandingkan dengan tahun dulu, tahun ni lebihlah.
“Meniaga tudung ni, setiap tiga bulan kita kena tukar, kita tak boleh itu sahaja, dari situlah kita dapat duit,” jelas Asdamawi.
Malah, dia yang membuka pernigaan selama 24 jam dan tidur di bazar sepanjang Ramadan ini menganggarkan pendapatan setiap kali Ramadan boleh mencecah RM30,000 sebulan.
“Sehari tu keuntungan yang saya boleh dapat dalam RM2,000. Sebab tudung ni kita tak boleh ambik banyak untung. Kalau sebulan tu, bersih-bersih, dapatlah dalam RM30,000 ke RM40,000,” ujarnya.
Selain perniagaan tudung, jualan baju kurung dan baju Melayu juga memberi keuntungan yang agak lumayan.
Menurut Massuriah, 55, dia yang kali pertama menceburi bidang perniagaan pada tahun ini menyifatkan bidang perniagaan amat menyeronokkan serta memberi pulangan yang lumayan.
“Walaupun kali pertama (berniaga), tetapi lumayan. Kalau hari bekerja tu boleh dapat dalam RM1,000 lebih (sehari). Kalau hujung minggu tu lagi lebihlah, memang lumayan,” ujar Massuriah.
Dia bersama anak yang memulakan perniagaan setiap hari jam 9.30 pagi berpendapat bahawa bidang perniagaan amat mencabar apabila perlu melayan pelbagai kerenah pelanggan.
“Walaupun ada pelanggan yang datang, tapi tak beli, kita tetap kena layan dengan baik. Biasalah kerenah-kerenah pelanggan ni,” katanya.
Malah, dia yang tidak sampai sebulan berniaga akan meneruskan perniagaan tersebut jika diberi peluang dan tempat pada tahun-tahun akan datang.
Selain keperluan baju, tudung dan sebagainya, peniaga songkok dan kain samping turut mendapat sambutan yang menggalakkan.
Peniaga songkok dan simping, Murad, 55 dan isterinya, Zaleha, 54, memilih untuk membantu anaknya yang mengusahakan perniagaan tersebut di bazar Jalan Masjid India.
Murad serta keluarga yang sebelum ini telah tiga tahun berniaga di Uptown Danau Kota menyifatkan jualan di Jalan Masjid India lebih lumayan.
“Banyak jugak orang cari kain samping, songkok ni, tip top jugak,” ujar Zaleha.
“Kalau hari minggu tu, keuntungan boleh cecah RM2,000 dan lebih lagi. Lagi dekat nak raya ni meningkat sikitlah jualan, tapi tak sama macam hujung minggu,” jelas Murad.
Menurut Murad lagi, perniagaannya di Uptown Danau Kota tidak sama seperti di Jalan Masjid India kerana di Jalan Masjid India tempoh perniagaan itu lebih lama.
“Kalau di Danau Kota kita meniaga malam sahaja, tetapi bila di Jalan Masjid India ni, kita buka dari pagi lebih kurang pukul 9.30 sampai 1 pagi,” kata Murad.
Malah, Zaleha gembira meniaga di Jalan Masjid India kerana jumlah pengunjung yang hadir bukan sahaja dari Kuala Lumpur malah dari pelbagai pelusuk di Malaysia.
“Tahun ni sambutan pelanggan memang dasyat. Sampai jalan depan gerai ni pun ‘jam’. Pelanggan sini bukan dari sekitar Kuala Lumpur, awal-awal dulu ada yang dari Sabah, Sarawak. Mereka suka ‘shopping’ sini. Tapi ni bila dah dekat raya ni banyaknya orang-orang KL je,” tambah Zaleha.
Dalam pada itu, Ahmad Husin, 56 yang telah meniaga kerongsang dan eksesori wanita disitu merasakan tahun ini jualanya agak kurang memberangsangkan.
“Meniaga tak tentu, kalau ramai orang tak semestinya dapat banyak. Untung tu cukup lah beli baju anak, barang makanan sikit,” jelas Husin.
Malah, dia juga merasakan musim cuti sekolah lebih memberi keuntungan daripada bulan Ramadan tahun ini.
Dia yang telah hampir 15 tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan merasakan bulan Ramadan banyak menguji kesabaran terutama apabila melayan pelbagai kerenah cerewet pelanggan.
“Pelanggan yang cerewet tu ada. RM10 pun mintak kurang RM3. Mana nak ada untung macam tu. Dalam bulan puasa ni memang menguji kesabaran,” jelas Husin.
Tinjauan MyNewsHub ini hanya meliputi jualan keperluan Aidilfitri seperti baju kurung, baju Melayu dan lain-lain.
Bagaimana pula dengan mereka yang berniaga makanan serta biskut raya di bazar-bazar Ramadan. Mungkin lebih lumayan.
Anda juga dipelawa untuk berkongsi pengalaman perniagaan anda bersama kami di MyNewsHub.
Oleh: HARITS ASYRAF
Video: RIZA RAZAK
Video: RIZA RAZAK
0 comments:
Post a Comment