KUALA LUMPUR – Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendakwa terdapat segelintir pesawah di Kedah membuang bekas racun termasuk beg baja ke dalam saliran sungai di kawasan sawah di negeri itu.
Presidennya, S.M. Mohamed Idris mendakwa, tindakan tidak bertanggungjawab tersebut mencemarkan sumber air di negeri itu serta mengancam pembiakan ikan air tawar di Kedah.
“Tinjauan SAM mendapati terdapat banyak botol racun dan beg plastik baja terapung di permukaan air di beberapa saliran dan sungai di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) serta luar MADA di sini.
“Selain jenama racun keluaran tempatan terdapat juga racun yang diharamkan penggunaannya di negara ini digunakan oleh para pesawah terbabit,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut situasi itu, S.M. Mohamed mendakwa, sejak beberapa tahun lalu penggunaan racun dalam kalangan pesawah di Kedah meningkat dengan ketara berikutan ancaman makhluk perosak yang serius seperti tikus, siput gondang serta pembiakan rumput sambau.
Dakwa beliau, keadaan itu amat membimbangkan kerana amalan tersebut gagal dikawal dengan berkesan oleh pihak berkuasa menyebabkan pencemaran air di kawasan sawah menjadi lebih serius.
Dakwanya, keadaan bertambah serius apabila ada pihak menggunakan bahan toksik itu bagi membunuh rumpai untuk membersihkan saliran dan sungai di negeri ini menyebabkan sisa rumput yang mati mendap menyebabkan saliran lalu sungai menjadi cetek.
“Manakala tebingnya pula runtuh dan mengalami hakisan. Keadaan ini lama kelamaan boleh mencetuskan ancaman banjir,” dakwanya lagi.
Sehubungan itu beliau menggesa MADA, Jabatan Pertanian serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi mengawal masalah itu dari berterusan.
“Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan menjejaskan alam sekitar akan terjejas dan mengancam kesihatan pesawah dan memungkinkan ancaman banjir yang lebih buruk,” dakwa beliau. – mynewshub.my
0 comments:
Post a Comment