KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa Pemuda UMNO dan akhbar Utusan Malaysia bersikap `double standard’ kerana mempersoalkan kelulusan sebuah filem berbahasa Cina ‘The New Village’.
Beliau mendakwa, Pemuda UMNO dan akhbar itu tidak pernah mempersoalkan penubuhan sekretariat tetap oleh Pemuda Barisan Nasional (BN) pada 12 Oktober 2009 bagi mengukuhkan ikatan antara Pemuda Barisan Nasional dengan Liga Pemuda Komunis China (CYL).
“Jelas bahawa mereka hipokrit dan mengamalkan double standard kerana memuliakan komunisme dengan membentuk pakatan antara Pemuda BN dengan Liga Pemuda Komunis China tetapi mempersoalkan kelulusan filem ‘The New Village’ yang didakwa memuliakan komunisme.
“Kedua-dua pihak ini mengkritik filem itu memutarbelit fakta sejarah dan menghasut masyarakat dengan mengagungkan Parti Komunis Malaya sebagai wira sedangkan pihak British diperlihatkan sebagai penjajah kolonial, tentera dan polis dijadikan musuh dan ‘orang jahat’ yang mesti dihancurkan,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Justeru Guan Eng mendakwa Utusan Malaysia dan Pemuda UMNO sedang bergantung kepada strategi lama iaitu menakut-nakutkan rakyat Malaysia tentang kewujudan konspirasi komunis dan mengaitkannya dengan orang bukan Melayu
Beliau bagaimanapun mendakwa taktik itu tidak lagi berkesan kerana rakyat sudah tidak mahu hidup dalam kegelapan dan kejahilan malah lebih 50 peratus undi popular yang dimenangi pakatan pembangkang membuktikannya.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini membuat keputusan menarik balik kebenaran tayangan filem The New Village untuk dinilai semula kerana mengangkat perjuangan komunis sebagai hero bagi membebaskan Tanah Melayu. – mynwshub.my
0 comments:
Post a Comment