KUALA LUMPUR – Jangan mudah terpedaya membeli ubat atau produk kecantikan melalui Internet, tanpa pengesahan pendaftarannya, kerana ia mungkin produk yang memudaratkan kesihatan.
Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail berkata walaupun penjualan ubat melalui Internet kini semakin popular, namun pengguna perlu sedar kementerian tidak pernah mengesahkan sesuatu produk yang diiklankan atau dijual melalui Internet itu selamat untuk digunakan.
Jangan terlalu cepat percaya dengan testimoni keterlaluan tanpa mengenal pasti produk terlebih dahulu yang menyebabkan pengguna tertipu atau lebih malang menjadi mangsa produk yang tidak mendapat kelulusan, katanya.
“Pastikan produk-produk ini berdaftar dengan KKM iatu mempunyai nombor pendaftaran dan label keselamatan hologram Meditag.
“Bagi produk makanan atau minuman tambahan, periksa label kandungannya terlebih dahulu, sebelum membeli manakala bagi produk kosmetik, semak status notifikasi sebelum membuat pembelian,” katanya kepada Bernama di sini.
Mazlan berkata produk berdaftar akan diberi satu nombor pendaftaran khusus seperti MAL20001564T, yang perlu dilekatkan bersama label keselamatan hologram Meditag, pada bungkusannya.
Bagi produk kosmetik pula, perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) KKM sebelum dipasarkan dan contoh nombor notifikasi ialah NOT120602463K.
“Oleh yang demikian jika membeli secara ‘online’ sukar untuk memastikan status pendaftaran ini, sebaiknya (elok) beli di luar dengan mendapatkan maklumat yang tepat mengenainya daripada ahli farmasi atau daripada pegawai perubatan klinik atau premis farmasi,” katanya.
Sementara itu, Mazlan berkata sepanjang tahun lalu sebanyak 33,704 produk tidak berdaftar dengan KKM dirampas, dengan nilai rampasan sebanyak RM43,220,070.
Katanya produk-produk ini dirampas melalui aktiviti penguatkuasaan seperti serbuan dan pemeriksaan ke atas premis dan saringan di pintu masuk negara.
“Sepanjang tahun yang sama juga sejumlah 1,061 ubat dan suplemen kesihatan telah didaftarkan manakala sejumlah 69,925 notifikasi diluluskan ke atas produk komestik,” kata Mazlan.
Bagi menjamin keselamatan pengguna, KKM menjalankan prosedur yang ketat sebelum mendaftarkan sesuatu produk.
Katanya semua produk farmaseutikal perlu berdaftar dengan PBKD bagi menjamin kualiti, keselamatan dan keberkesannya.
“Kami akan membuat pemeriksaan ke atas premis dan proses pengilangannya untuk memastikan mereka mematuhi Amalan Pengilangan Baik (GMP), selepas itu penilaian data akan dilakukan oleh PBKD untuk meluluskan permohonan tersebut atau tidak,”
“Selepas itu satu nombor pendaftaran akan dilekatkan bersama label keselamatan hologram Meditag pada bungkusannya, manakala bagi kosmetik akan diberikan notifikasi sebelum dipasarkan,” kata Mazlan.
Dalam usaha memberi kesedaran kepada pengguna pula, beliau berkata pihaknya mengadakan dialog bersama para peniaga secara berkala termasuk kempen-kempen di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.
“Ini sebagai langkah proaktif bagi memberi pendidikan dan maklumat kepada orang awam dalam memilih produk berdaftar dan bernotifikasi daripada KKM serta membantu mereka mengelak terbeli produk palsu atau yang tidak mendapat kelulusan,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment