Hasmadi (kiri) tersenyum setelah
tangannya dikucup Norazizan sewaktu majlis akad nikah di rumah keluarga
pengantin perempuan, Taman Seri Serai, Bagan Serai kelmarin.
BAGAN SERAI - Dilahirkan bisu bukan halangan kepada Hasmadi Hassan, 41,
dan pasangannya, Norazizan Masran, 36, untuk menjadikan laman sosial
Facebook sebagai medium mengenali hati budi sekali gus hidup bersama
melalui ikatan perkahwinan.
Pasangan istimewa itu melangsungkan pernikahan di rumah keluarga
pengantin lelaki di Taman Seri Serai kelmarin dengan Hasmadi melafazkan
akad nikah menggunakan bahasa isyarat.
Majlis akad nikah disempurnakan jurunikah, Sabri Sabran lebih kurang jam
5 petang sambil disaksikan sanak saudara kedua-dua mempelai.
Pasangan terbabit dipertemukan buat pertama kali sewaktu keluarga
Hasmadi datang ke rumah kakak Norazizan di Selinsing, di sini, untuk
merisik setahun lalu.
Hasmadi yang berasal dari Kangar, Perlis tidak menyangka perkenalan
dengan Norazizan ketika itu melahirkan perasaan mahu mengenali gadis itu
secara lebih dekat.
Menurutnya, sikap Norazizan yang lemah lembut membuatkannya terpikat dan
kedua-duanya mula cuba mengenali hati budi masing-masing melalui laman
sosial Facebook sejak pertemuan itu.
“Luahan rasa hati melalui Facebook menguatkan perasaan cinta dan setiap
kali berkomunikasi, saya dapat rasa keserasian yang wujud di antara
kami.
“Walaupun kami berdua golongan orang kurang upaya (OKU) tapi saya
berharap jodoh kami berpanjangan dan ikatan perkahwinan ini diberkati
ALLAH SWT,” katanya menggunakan bahasa isyarat yang diterjemahkan
seorang ahli keluarga.
Dalam pada itu, Norazizan berkata, sejak bertemu Hasmadi, dia mula menyimpan perasaan sayang kepada pemuda itu.
“Kali pertama berjumpa, saya rasa bimbang sekiranya keluarga Hasmadi
tidak dapat menerima kekurangan diri saya kerana tidak tahu bakal suami
juga OKU.
“Bagaimanapun, saya bersyukur pertemuan kali pertama akhirnya membawa ke
jinjang pelamin dan berharap dikurniakan sekurang-kurangnya lima cahaya
mata,” katanya.
Sementara itu, ibu Hasmadi, Che Rokiah Bakar, 64, berkata, dia tidak
menghalang anak istimewanya itu memilih pasangan hidup demi
kebahagiaannya.
“Dia juga insan biasa yang memerlukan perhatian daripada seorang wanita bergelar isteri,” katanya.
Bagi kakak sulung, Nor Kamaliya Masran, 41, pula, dia berasa terharu dan
bersyukur kerana adiknya bertemu jodoh dengan jejaka sepertinya
walaupun jarak perhubungan di antara kedua-dua mempelai begitu jauh.
0 comments:
Post a Comment