Betty Banafe
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Betty Banafe menganggap sikap hilang
sabar ketika berhadapan dengan ujian dalam alam pertunangan menjadi
penyebab dia hampir membatalkan pernikahannya dengan Bruce Dargus yang
dijadualkan pada 8 Disember depan.
Betty atau nama sebenarnya Betty Ibtisan Abu Bakar Banafe, 33, berkata,
puncanya adalah kecil apabila dia dan bakal suami yang berasal dari
England itu berselisih faham mengenai majlis pernikahan yang bakal
diadakan.
“Disebabkan dia bukan orang Melayu, dia sukar untuk memahami budaya
kita. Semasa kami berbincang bagi mengadakan persiapan pernikahan, kami
menghadapi masalah perbezaan pendapat menyebabkan saya putus asa
sehingga berhasrat membatalkan perkahwinan itu.
“Bagaimanapun selepas dibantu oleh seorang teman rapat yang berusaha
untuk menyelesaikan masalah kami, akhirnya kami mendapat jalan
penyelesaiannya.” Kata Betty ketika hadir ke Menara Star di sini petang
Isnin untuk mengedarkan kad jemputan perkahwinannya.
Betty diminta mengulas laporan sebuah akhbar pada Ahad yang mendedahkan
hasratnya untuk membatalkan majlis perkahwinan yang akan diadakan di
rumah keluarganya di Kempas, Johor Bahru itu.
Betty memberitahu, dia percaya pendapat sesetengah pihak yang mengatakan
dugaan di alam pertunangan memang berat dan besar kemungkinan boleh
menyebabkan sesebuah perkahwinan itu dibatalkan jika pasangan gagal
untuk menanganinya.
Bagaimanapun dia bersyukur ketika hari bahagiannya semakin tiba, segala cabaran itu dapat dilaluinya dengan tabah.
“Saya perlu kuatkan semangat kerana saya mahu mengahwini bangsa asing
iaitu lelaki yang berdarah Lubnan campur mat salih. Ia tidak mudah
kerana perbezaan budaya. Tetapi saya bersyukur kerana dia boleh menerima
budaya kita,” katanya yang mengenali pakar teknologi maklumat itu sejak
setahun lalu.
Kedua-dua mereka bertunang secara rasmi pada 14 Jun lepas.
Betty memberitahu, tekanan yang dihadapi akibat masalah itu menyebabkan
dia terpaksa menangguhkan pembedahan sista ovari yang sepatutnya
dilakukan pada 16 November lalu di pusat pakar perubatan HUKM, Cheras,
dekat sini.
“Saya amat tertekan sehingga tidak dapat menjalankan pembedahan itu.
Bagaimana selepas semuanya selesai, saya akan melakukannya (pembedahan)
itu esok (hari ini).
Bercerita mengenai majlis pernikahannya Betty berkata, upacara akad
nikah akan diadakan di rumah keluarganya di Kempas, Johor selepas solat
Zuhur sementara majlis resepsi kedua-dua pihak akan diadakan di Danga
Bay Convention Centre, Johor Bahru pada 12 Disember depan.
Pada majlis nikah itu Betty akan mengenakan busana yang dicipta oleh pereka fesyen dari Singapura yang berkonsepkan Arab.
Bagaimana konsep pakaian pada majlis persandingannya terpaksa dirahsiakan untuk memberikan kejutan kepada pihak lelaki.
Antara selebriti yang dijangka hadir pada majlis persandingannya ialah
Erra Fazira, Zahida Rafik, Serina, Nabila Huda, Nash dan Lisdawati.
0 comments:
Post a Comment