MALU tetapi tidak mampu melakukan apa-apa kecuali tidak menonton lakonan sendiri di kaca televisyen (TV). Mungkin pendirian itu dianggap remeh oleh sesetengah orang tetapi tidak bagi Diana Amir.
Tanpa berselindung, Diana tidak menafikan dia kurang senang dengan beberapa tayangan filem dan drama yang pernah dilakonkan sebelum berhijab yang dianggap sangat memalukan.
"Saya pernah buat silap dan saya sedar dengan kesilapan itu. Bila saya sedang terlibat dalam program usrah atau mana-mana kuliah agama, orang akan tweet kata tengok saya dalam TV cerita-cerita zaman saya tidak bertudung.
"Hakikatnya perkara itu amat pedih dan perit. Sebab itu saya anggap pihak-pihak berkenaan patut ambil berat dan ambil tahu dengan masalah artis-artis yang telah berhijrah macam kami.
"Bukan saya sahaja yang menghadapi situasi ini tetapi ramai. Sebelum ini Wardina Safiyyah pernah membangkitkan sama apabila drama lama lakonannya diulang siar. Tapi tiada tindakan.
"Sama juga hal dengan saya dan rakan-rakan. Kami berhasrat bawa isu ini kepada pihak Persatuan Seniman. "Mungkin mereka boleh bantu artis-artis macam kami untuk selesaikan isu ini dengan pihak berwajib.
"Saya cuba untuk berubah jadi orang yang lebih baik. Sebab itu saya minta ihsan stesen TV agar kaji semula isu ini. Apa yang penting saya sedar itu kesilapan sendiri dan mereka juga perlu bantu saya untuk jadi lebih baik," kata Diana.
Mengulas mengenai perkahwinan pula, artis ini mengakui telah bersedia untuk menjadi isteri sejak beberapa tahun yang lalu.
Malah impian untuk berkahwin dan menjadi isteri yang solehah tidak pernah terpadam biarpun niat suci tersebut masih belum tercapai sehingga hari ini.
"Saya memang telah bersedia untuk berkahwin. Kalau ditakdirkan ada jodoh, saya mahu disatukan pertengahan tahun ini.
"Buat masa ini ramai yang sudah menyatakan kesudian untuk memberi tajaan seandainya saya berkahwin nanti. Saya tak ada masalah dalam isu itu tetapi berharap agar semuanya dipermudahkan seperti saya impikan.
"Lagi bagus kalau perkahwinan itu dilakukan secara sederhana. Saya pun tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak. Asalkan semua senang, itu sudah cukup baik," tambahnya yang kini menjadi tunangan kepada seorang pensyarah sebuah universiti tempatan bernama Muhammad Habib Bullah.
UmrahBakal berangkat ke Jepun dan Switzerland pada bulan hadapan bagi mengacara program SIS untuk TV9, Diana juga mengajak para peminat untuk mengerjakan umrah dan ziarah ke Tanah Suci Mekah pada bulan April nanti.
Menawarkan pakej umrah dan lawatan ke Mesir dengan harga RM9,789 seorang, program dianjurkan syarikat miliknya, Kembara Addin dan Mantop Travel & Tours Sdn. Bhd.
0 comments:
Post a Comment