Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, April 6, 2013

No Comment
Korea Utara Beri Amaran


Korea Utara Beri Amaran - MOSCOW : Korea Utara menyatakan bahawa pihaknya tidak dapat memastikan keselamatan semua kedutaan asing di Pyongyang selepas 10 April depan.
Negara itu mendesak Britain, Rusia dan beberapa negara Eropah lain untuk mengosongkan kedutaan masing-masing ekoran peningkatan pergerakan senjata nuklear di Korea Utara ketika ini.
Beberapa negara di Eropah semalam melaporkan telah menerima sepucuk surat yang meminta semua kakitangan kedutaan masing-masing dikeluarkan dari Pyongyang.
“Bermula dari 10 April, pemerintah Korea Utara tidak dapat memberi jaminan keselamatan terhadap beberapa kedutaan dan organisasi antarabangsa di negara berkenaan yang kini sedang dalam konflik.
“Pada pemahaman kami, bahawa Korea Utara meminta kedutaan asing di negara itu keluar berbanding menasihatkan kami untuk meninggalkan negara berkenaan,” kata seorang jurucakap Pejabat Luar Britain.
Jurucakap itu berkata, Britain telah mengingatkan Korea Utara berhubung tanggungjawabnya menerusi Konvensyen Vienna untuk melindungi misi-misi diplomatik.
Rusia yang mempunyai hubungan rapat dengan Korea Utara turut menerima mesej daripada negara itu.
Tentera Korea Utara sebelum ini memberi amaran bahawa ia telah diberi kuasa untuk menyerang Amerika Syarikat (AS) dengan menggunakan senjata nuklear yang lebih kecil dan ringan.
Tindakan itu merupakan ancaman terbaharu Korea Utara terhadap AS sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Ketegangan itu turut melibatkan Korea Selatan yang melancarkan latihan ketenteraan dengan AS.
Korea Utara turut mengancam untuk melancarkan semula Perang Korea yang sebelum ini berakhir pada tahun 1953.
Tentera AS turut menghantar beberapa pesawat kalis radar ke Korea Selatan sebagai persediaan untuk menghadapi peperangan dengan Korea Utara.
Peperangan itu berakhir menerusi perjanjian damai yang ditandatangani kedua-dua pihak di Panmunjom yang terletak di sempadan kedua-dua buah negara.
Perjanjian itu dilaksanakan selepas tentera Korea Utara menyerang Korea Selatan pada tahun 1950.
Ketegangan itu mula tercetus sebelum ini selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenakan sekatan barang mewah ke atas Korea Utara selepas ia melancarkan ujian nuklear ketiga pada Februari lalu.
Korea Utara yang menggunakan ideologi komunis dipimpin Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an selepas bapanya, Kim Jong-il meninggal dunia pada April tahun lalu. – Agensi

0 comments:

Post a Comment