Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, July 1, 2013

No Comment


MULA membuka tirai pada Mei 2003, penganjuran rancangan realiti, Akademi Fantasia (AF) berjaya memberi impak dan fenomena tersendiri dalam industri tempatan.

Malah, elemen kejutan dan drama di sebalik rancangan itu menjadikan AF sebagai program hiburan yang paling popular di Astro Ria.

Kemunculan bintang realiti seperti juara AF1, Vince, Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4), Mila (AF5), Stacy (AF6), Hafiz (AF7), Shahir (AF8) dan Hazama (AF9) menambahkan warna dan rencah dalam industri yang semakin meriah.

Namun, pada 2011, pihak stesen televisyen berbayar, Astro, mengumumkan untuk menghentikan rancangan hiburan tersebut yang hanya bersiaran sehingga musim ke sembilan (AF9) sahaja.

Tindakan Astro itu menimbulkan pelbagai spekulasi, malah ada pihak membuat andaian ia berpunca daripada sambutan penonton yang kurang memuaskan.

Tidak kurang juga yang menganggap AF bukan lagi menjadi tarikan penonton, malah lambakan program hiburan lain menutup ruang rancangan ini untuk terus menjadi rancangan yang diminati.

Ada juga berpendapat, Astro tidak berusaha untuk menampilkan konsep yang berlainan apabila penganjuran AF1 hingga AF9, tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Begitu juga dengan bakat-bakat yang dicungkil, kebanyakannya tidak berupaya membawa nama ke tahap yang memberangsangkan. Yang mampu bertahan hanyalah segelintir sahaja.

Mungkin ingin membuktikan aura AF masih lagi hebat, Astro kini menarik balik keputusan untuk menghentikan rancangan itu dengan memperkenalkan AF10.

Melihat pada dasar pelaksanaan, AF10 akan menyaksikan pelbagai pembaharuan dan berkemungkinan ia mampu mengembalikan kegemilangan AF di satu ketika dahulu.

Untuk menjelaskan lebih lanjut mengenai AF10, Zass mendapatkan reaksi Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.


Khairul Anwar Salleh.

Setakat ini, sejauh manakah proses penganjuran AF10?

Alhamdulillah, sesi uji bakat yang bermula pada 1 Jun berjalan dengan lancar dan berakhir pada 30 Jun lalu. Sesi uji bakat itu bermula di Johor Bahru dan berakhir di Shah Alam, Selangor. Kemungkinan besar, konsert pertama
akan mula diadakan pada September depan, selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sebelum ini, Astro mengumumkan untuk menghentikan rancangan ini, namun ternyata Astro menarik balik keputusan itu.

Atas desakan masyarakat dan peminat rancangan tersebut, kami terpaksa mengembalikan semula kegemilangan AF. Setelah melalui beberapa perbincangan, kami rasa AF perlu diteruskan mengikut kehendak penonton.

Menjadi satu kerugian besar sekiranya kita menghampakan harapan penonton yang menantikan rancangan sebegini.

Pada pandangan anda, adakah AF masih relevan sedangkan stesen televisyen tempatan lain giat menampilkan pelbagai rancangan realiti yang kian mendapat tumpuan penonton kini?

Jangan risau mengenai perkara itu kerana kami sudah merangka strategi dan format efektif untuk menambah baik penganjuran ini demi kepuasan maksimum penonton. AF 2013 tidak akan dibayangi AF sebelum ini kerana kami
mengubah dasar dan formatnya secara 100 peratus. Apa sahaja yang sama, kami tukar dan tukar.

Seinci pun tidak akan sama dengan rancangan sebelum ini kerana lebih banyak kejutan dan program yang disusun agar ia terus relevan. Selepas ini, akan ada lagi beberapa sesi sidang media untuk mengumumkan beberapa perkara penting dalam pelaksanaan AF 2013 yang berwajah baru ini.

Apakah pembaharuan yang terdapat dalam AF10?

Setelah mengkaji beberapa perkara, kami memutuskan untuk membuat pembaharuan besar dalam AF. Kami memperkenalkannya sebagai AF 2013 dan beberapa konsep akan diubah mengikut cita rasa penonton seiring dengan peredaran zaman.

Selain daripada perubahan wajah menerusi logo yang menggunakan eleman futuristik dan susunan baru lagu tema, kami juga akan menampilkan kelainan menerusi penukaran format dengan membenarkan penyertaan secara duo. Walaupun masih terikat dengan kontrak idea asal, La Academia, kami diberi kelonggaran untuk mengubah struktur program agar terus relevan.

Peserta juga dibenarkan untuk berinteraksi secara terus dengan peminat melalui laman mikro, Twitter, Keek, Facebook dan Instagram walaupun mereka dikuarantin semasa pengajian. Dengan cara itu, mereka akan lebih dekat dengan peminat.

Mungkinkah AF 2013 bakal mengembalikan kegemilangan AF yang sebelum ini?

Insya-ALLAH, itulah harapan kami untuk melaksanakan AF 2013. Malah, kami berharap AF 2013 bukan sahaja mengulangi fenomena seperti satu ketika dahulu malah lebih berjaya dan menjadi saingan sengit kepada rancangan realiti lain. Kami percaya, dengan komitmen yang tidak berbelah bagi, AF 2013 mampu membawa sejarah kebangkitan bintang sebenar.

0 comments:

Post a Comment