Norzamera bersama anaknya, Norqaseh Qaisara ketika menceritakan detik-detik cemas ketika kemalangan. |
BENTONG - Seorang ibu mengandung bersama anak berusia dua tahun terselamat dalam kejadian kemalangan semalam.
Dalam kejadian itu, Norzamera Abd Manaf, 24, cedera di kepala dan tangan manakala anaknya, Norqaseh Qaisara Ahmad Rizuan, 2, yang berada di sebelah tingkap tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak menangis semasa kejadian itu berlaku.
Menurutnya, semasa kejadian dia tertidur manakala anak sulungnya itu duduk di tempat duduk sebelah tingkap bas.
“Apabila saya tersedar saya terasa seperti hilang ingatan dan anak saya berada di sebelah memanggil nama saya dan dia tidak menangis pun.
“Saya bersyukur kerana walau pun saya mengalami kecederaan di bahagian kepala tetapi anak saya tidak cedera begitu juga bayi dalam kandungan yang berusia empat bulan,” katanya ketika ditemui di sini.
Norzamera yang tinggal di Puchong dalam perjalanan balik ke kampungnya di Kelantan menerima tujuh jahitan di kepala akibat kemalangan itu.
Dalam pada itu, bapa mertua Norzamera, Osman Halus, 64, berkata dia amat terkejut sekali apabila mendengar berita mengenai kejadian tersebut.
“Saya terus bergegas ke hospital apabila diberitahu mengenai kejadian ini tetapi saya bersyukur kerana dia selamat begitu juga anaknya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment