KUALA LUMPUR – “Saya rasa tidak perlu lagi apa-apa debat atau dialog antara saya dengan PAS,” kata Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang.
Beliau berkata, PAS telah beberapa kali ingin berdebat dengan beliau berhubung perlaksanaan hudud tetapi tidak pernah jadi kenyataan.
“Contohnya pada tahun 2011, saya telah terima cabaran dari Ketua Pemuda PAS waktu itu untuk berdebat isu ini.
“Selepas saya sahut cabaran tersebut, debat mahupun dialog tersebut tidak pernah berlangsung,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Sebuah portal pembangkang kelmarin mencabar Keng Liang berdebat tentang isu hudud berikutan tindakan beliau menghantar Notis Tindakan Undang-undang kepada PAS.
Ia berikutan rancangan PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan yang didakwa bercanggah dengan prinsip Perlembagaan negara.
Sehubungan itu, Keng Liang meminta PAS supaya memahami kenapa hukum hudud tidak diterima ramai pihak termasuk parti sekutu DAP dalam pakatan pembangkang.
Malah, katanya, kerajaan Parti Keadilan Selangor (PKR) yang menteri besarnya beragama Islam pun tidak berniat melaksanakan hudud di Selangor.
“Jika PAS masih tetap melaksanakan hudud yang bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan, maka kita debatlah perkara ini dalam Mahkamah. Pemuda Gerakan bersedia pertahankan prinsip asas Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.
0 comments:
Post a Comment