KUALA LUMPUR – Lebih 15,000 peminat hadir menyaksikan konsert komposer terkenal India A.R. Rahman di Stadium Merdeka di sini Sabtu malam.
Pada konsert selama tiga jam setengah yang bertemakan Infinite Love Live In Concert itu peminat dihiburkan dengan gabungan lagu klasik dan muzik terkini dalam bahasa Hindi dan Tamil, serta lagu keagamaan dan tarian.
Komposer muzik terkenal itu turut menghiburkan peminatnya dengan beberapa lagu yang dimuatkan dalam filem 3D Tamil, Kochadaiyaan yang bakal ditayangkan.
Rahman berkata beliau menyifatkan peminat di Malaysia amat istimewa dan berharap untuk memberikan sesuatu yang tidak dapat dilupakan mereka pada konsert itu.
Pernah mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 2003, katanya beliau amat teruja untuk mempersembahkan beberapa ciptaan terbaru beliau kepada peminat di sini.
Terkenal di seluruh dunia bagi kebolehan menghasilkan ciptaan inovatif, Rahman pernah memenangi dua Academy Awards (bagi karyanya untuk filem Slumdog Millionaire), dua Grammy Awards, anugerah Bafta dan anugerah Golden Globe, selain banyak anugerah dan pencalonan di India. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment