KUALA LUMPUR – Kumpulan Pro-Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan membantah tindakan pentadbiran universiti itu melarang mereka mengadakan pemilihan kepimpinan Pro-Mahasiswa universiti itu pada 27 April lalu.
Pengerusinya, Jamhuri Mohamed mendakwa, tindakan pentabdiran UMS menyekat pemilihan Pengerusi Pro-Mahasiswa UMS Kampus Antarabangsa Labuan bagi sesi 2014/2015 satu halangan agenda demokrasi pelajar universiti berkenaan.
“Lima calon telah bertanding untuk jawatan Pro-Mahasiswa UMS Kampus Antarabangsa Labuan yang diadakan di kafeteria sebagai lokasi paling mudah dan strategik untuk mahasiswa hadir mengundi.
“Tetapi Hal Ehwal Pelajar (HEP) tidak menghormati inisiatif kami ini apabila Felo kolej kediaman, Salwar Salman dan Ketua Bahagian Penolong Pendaftar Kanan HEP, Puan Sharifah Ismail serta beberapa kakitangan keselamatan datang menghalang serta merampas kelengkapan pengundian,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Jamhuri mendakwa, perbuatan HEP tersebut menyebabkan pertelingkahan berlaku antara aktivis Pro-Mahasiswa UMS Kampus Antarabangsa Labuan dengan Sharifah kerana beliau yang mengarahkan pihak keselamatan merampas kotak undi tanpa sebarang alasan.
Dakwanya, Sharifah menggunakan alasan kafeteria hanya tempat makan dan aktiviti selain daripada itu tidak dibenarkan serta menggugut akan mengenakan kompaun ke atas mereka jika berdegil.
“Pro-Mahasiswa UMS Kampus Antarabangsa Labuan melihat sikap HEP ini sebagai tidak munasabah dan tidak lagi sesuai diamalkan dalam era masa kini. Tindakan HEP itu mengganggu satu proses pendidikan demokrasi yang amat penting bagi mahasiswa,” dakwanya.
Beliau turut mendakwa, sekatan itu membantutkan usaha melahirkan generasi muda Malaysia yang memahami tanggungjawab dalam demokrasi dan mencacatkan proses melahirkan masyarakat masa depan yang ideal.
0 comments:
Post a Comment