Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, April 15, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengesahkan produk `Rice Porridge with Abalone’ jenama Yangban keluaran sebuah syarikat di Korea yang dipercayai mengandungi bakteria clostridium botulinum tidak diimport ke negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pengesahan itu dibuat melalui data import sejak tahun 2013 yang diperolehi kementerian itu melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM).

“Melalui data import ini, produk `Rice Porridge with Abalone’ yang terlibat di dalam isu ini tiada di import ke negara ini.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan telah mengenakan Pemeriksaan Tahap Lima Tahan, Uji dan Lepas terhadap produk ini sekiranya diimport (ke Malaysia) sejak 10 April lalu,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Noor Hisham berkata, laporan laman web Canadian Food Inspection Agency (CFIA) pada 3 April lalu memaklumkan terdapat produk `Rice Porridge with Abalone’ dipercayai dicemari bakteria clostridium botulinum.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa Kanada dan Singapura telah menarik balik kesemua produk terlibat dari pasaran negara terbabit.

Jelas beliau, clostridium botulinum sejenis mikroorganisma patogenik yang boleh menyebabkan demam dan kesakitan abdomen.

Ia boleh juga menyebabkan kematian terutama ke atas golongan berisiko tinggi seperti bayi, warga emas atau orang yang rendah sistem imuniti .

Justeru, katanya, orang ramai tidak perlu khuatir berhubung isu tersebut kerana Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan bagi menjamin keselamatan makanan di negara ini.

“Sekiranya pengguna ragu-ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di pasaran tempatan, pengguna boleh membuat kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan negeri terdekat.

“Aduan boleh juga dibuat melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my/v3,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya. – SiakapKeli.com

0 comments:

Post a Comment