Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, April 27, 2014

No Comment

LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu memberi penumpuan dalam aspek penyelenggaraan aset dan sumber manusia bagi melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sempurna, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah kemampuan aset dan sumber manusia sedia ada menunjukkan pasukan itu bersedia dalam segala aspek untuk diaturgerakkan demi mempertahankan negara tercinta berikutan peningkatan ancaman.

“TLDM sentiasa berupaya menghantar asetnya bagi memikul amanah yang dipertanggungjawabkan menerusi peristiwa kapal MISC ditawan lanun di perairan Teluk Aden, peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sehinggalah kepada tragedi kehilangan pesawat MH370,” titah baginda pada Istiadat Penganugerahan dan Perarakan Panji-Panji sempena sambutan ulang tahun ke-80 TLDM di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin yang merupakan Kapten Yang Dipertua TLDM memberi contoh peristiwa pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada Februari tahun lepas telah membuktikan bahawa musuh akan datang pada waktu yang tidak dijangka yang memerlukan pasukan keselamatan sentiasa berwaspada.

“Peranan besar TLDM dalam mengawal dan melindungi kawasan perairan di Sabah Timur telah menghalang serta menggagalkan percubaan pengganas lain untuk menyelinap masuk, sekali gus telah memastikan ancaman itu dapat ditangani dengan cepat dan berkesan,” titah baginda.

Baginda juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pegawai dan anggota TLDM yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 di Laut China Selatan dan Lautan Hindi.

“Komitmen yang ditunjukkan oleh warga TLDM terutama yang bertugas di kapal-kapal yang terlibat dalam operasi SAR bersama-sama dengan pasukan keselamatan antarabangsa lain bagi mengesan pesawat adalah amat dibanggakan,” titah baginda.

Penerbangan MH370 bersama-sama 239 orang hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Sultan Sharafuddin turut melahirkan rasa bangga kerana pasukan itu telah menjadi angkatan laut yang berupaya beroperasi secara tiga dimensi dengan kehadiran aset kapal selam yang menjadi kebanggaan negara, setanding dengan tentera laut negara maju lain.

Berhubung sambutan ulang tahun TLDM berkonsep “Merakyatkan TLDM” membabitkan program diatur melibatkan interaksi dengan orang awam, baginda bertitah usaha sedemikian merupakan semangat patriotik dan memberi kesedaran kepada masyarakat awam mengenai peranan dan tanggungjawab yang dipikul pasukan itu.

“Beta mengingatkan warga TLDM agar sentiasa berwaspada dan bersedia dalam segala aspek untuk menghadapi sebarang kemungkinan. TLDM perlu semarakkan lagi peranan untuk berbakti kepada negara hingga ke titisan akhir darah yang terakhir demi menjaga maruah TLDM,” titah baginda.

Terdahulu, baginda memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada tiga kontinjen melibatkan 18 pegawai dan 385 anggota lain-lain pangkat dengan diiringi pancaragam pusat TLDM.

Berangkat sama pada majlis itu Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fai-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin, Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment