Gelaran Juara Hadiah Merdeka Terbaik Bagi Chong Wei, Malaysia
JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei semakin hampir dengan impiannya memburu gelaran juara pada Kejohanan Badminton Dunia selepas mengesahkan slot final semalam.
Tampil dengan aksi agresif di Arena Ballerup Super di Copenhagen, Denmark, Chong Wei mudah mencatatkan kemenangan straight set ke atas pemain tuan rumah, Victor Axelsen 21-9, 21-7 dalam tempoh 33 minit.
Andai menang pada aksi final hari ini, ia akan menjadi hadiah terbaik Chong Wei kepada seluruh rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-57.
"Sehingga kini setiap perlawanan berjalan dengan baik. Jadi saya boleh berehat sekarang dan bersedia untuk perlawanan esok (hari ini).
"Rakyat Malaysia turut menyaksikan perlawanan itu dan sudah pasti tekanan yang lebih berat di bahu saya nanti tetapi saya tidak akan memikirkan tentangnya kerana saya mahu membawa pulang hadiah yang besar untuk negara saya," kata Chong Wei.
Sementara itu, jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock berharap Chong Wei akan terus memberikan tumpuan, sekali gus mengejar impiannya untuk bergelar juara dunia buat kali pertama.
"Ini kali ketiga berturut-turut Chong Wei mara ke final selepas edisi 2011 dan 2013. Pada 2012 tidak ada kerana ketika itu dia beraksi pada Sukan Olimpik, jadi sudah dua kali dia gagal.
"Saya berharap kali ini kegagalan itu tidak akan berulang lagi. Sebenarnya tiada lagi pesanan saya kepada dia kerana apa yang penting sekarang adalah fokus," kata Seu Bock.
Mengenai kecederaan paha yang menyaksikan Chong Wei menarik diri pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, Seu Bock berharap kesakitan yang dialami pemain No. 1 dunia itu tidak kembali pada saat-saat genting.
"Setakat ini memang dia tidak mengadu apa-apa mengenai kesakitan itu. Mungkin kesakitan itu masih ada atau juga mungkin tidak ada.
"Kalau ada pun saya percaya dia akan melupakannya kerana apa yang saya lihat (keadaannya) semakin lama semakin bagus," tambah Seu Bock.
Untuk rekod, Chong Wei tewas kepada bintang handalan China yang juga juara dunia lima kali, Lin Dan pada aksi final edisi 2011 di London.
Pada aksi final edisi 2013 di Guangzhou, China, Chong Wei juga tumbang kepada Lin Dan apabila dia terpaksa menarik diri selepas mengalami kekejangan otot paha ketika ketinggalan 17-20 pada set ketiga. - Kosmo!
0 comments:
Post a Comment