KEPALA BATAS – Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan kesal dengan cara Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menguruskan isu perumahan yang kian meruncing di negeri ini.
Beliau berkata, alasan yang diberikan kerajaan negeri bahawa kelulusan pembinaan rumah perlu dibuat oleh Jawatankuasa Perancangan Negeri dilihat sebagai usaha untuk membantutkan perancangan pembinaan rumah khususnya rumah mampu milik untuk rakyat.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam soal perumahan saya memang kesal. Di tempat lain kelulusan pembinaan rumah dikeluarkan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan tetapi di Pulau Pinang ia perlu dibuat oleh kerajaan negeri.
“Terlalu banyak alasan dan jawapan tidak munasabah yang membuatkan pemaju merasakan seolah-olah ada dinding yang tidak boleh ditembusi di Pulau Pinang… ini bukan soal politik tetapi soal rumah untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Kepala Batas di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata, sebagai ketua menteri, Lim sepatutnya mengambil inisiatif mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju perumahan dalam usaha menyelesaikan isu harga rumah yang tinggi serta permintaan rumah yang semakin meningkat.
“Kalau kerajaan negeri tidak mampu untuk membina rumah, kita ada syarikat swasta yang boleh melakukannya, tetapi kalau letak sekatan yang tidak munasabah dan alasan yang tidak masuk akal serta tiada ruang kompromi maka masalah tidak akan selesai,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment