Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, August 31, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Seawal 6.30 pagi suri rumah ini menaiki motosikal bersama suami dan seorang anak lelakinya bergerak ke Dataran Merdeka,
di sini, kira-kira 20 kilometer dari rumahnya di Ampang.

“Ini kali pertama saya datang sini, saya nak tunjuk kepada anak lelaki saya ini macam mana kemerdekaan negara disambut,” kata Siti Maadiah Abdul Manaf, 36.

Beliau kemudiannya ditinggalkan berdua bersama anaknya yang berusia lima tahun oleh suaminya yang bekerja pada hari ini, menarik perhatian bahawa cinta kepada negara tidak perlu hanya disebabkan negara ini aman pada masa kini, namun perlu diingat negara ini mempunyai jasa yang tinggi kepada setiap rakyat.

“Ya betul Malaysia juga tak ada konflik yang besar, ekonomi pun stabil, tetapi cinta kepada negara perlu lebih mendalam, dan ia saya percaya ada di dalam hati setiap orang, tengoklah berapa orang yang sanggup datang ke sini sejak awal pagi,” katanya kepada Bernama.

Sambutan dengan tema “Malaysia…Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta” di Dataran Merdeka itu bermula pukul 8 pagi dan tamat kira-kira pukul 10.30 pagi.

Kira-kira 400,000 orang terdiri daripada rakyat tempatan dan pelancong luar menyaksikan sambutan kemerdekaan kali ini dan mereka hadir sejak 6 pagi dengan penuh bersemangat sambil mengibarkan bendera, walaupun kebanyakannya hanya berdiri sepanjang sambutan.

Sementara itu, seorang warga emas, Ariffin Saad, 63, yang hadir bersama keluarga berkata tema yang dipilih tahun ini, tepat pada masanya ketika negara diuji dengan pelbagai dugaan termasuk kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan tragedi MH17.

“Ia sedikit sebanyak menyentuh hati saya terutama sekali selepas pelbagai dugaan yang terjadi. Saya harap tema ini dan sambutan hari ini, dapat melahirkan semangat cintakan negara kepada semua,” katanya.

Bagi seorang doktor, S.Darshini, 28, tema sambutan tahun ini yang disifatkannya mengangkat perasaan cinta membawa maksud yang sangat mendalam.

“Tema tahun ni sangat unik sebab unsur cinta yang diterapkan bagi saya bukan sahaja cinta terhadap negara, malah rasa cinta rakyat Malaysia yang berbilang kaum antara satu sama lain,” katanya.

Seorang pekerja swasta pula, Alvin Wee, 27, berkata sambutan kemerdekaan kali ini dengan tema yang unik menyuntik semangat luar biasa buat dirinya.

“Tema kali ini mengenai cinta, mengajak kita mencintai sesama kaum kerana kita semua rakyat Malaysia dan di sini lahirnya cinta,” katanya yang hadir bersama pasangannya.

Sementara itu, bagi pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Muhd Shafik Sihat, 18, peluang menyertai perbarisan Hari Kemerdekaaan di Dataran Merdeka merupakan satu penghormatan baginya, dan mengajar dirinya untuk menjadi lebih patriotik.

Bagi seorang lagi pelatih, Nur Syafilah Abd Kahhar, 18, selain kagum dengan penyertaan masyarakat berbilang kaum dalam sambutan berkenaan, turut menarik perhatian bahawa para pelatih PLKN juga sentiasa diberi penekanan terhadap penyemaian semangat patriotisme dan modul berasaskan kenegaraan semasa latihan.

Bagi pelancong Jerman, Frederike Beck, 23, yang baru tiba di Malaysia bersama empat rakannya semalam, kagum melihat sambutan itu yang dihadiri
pelbagai kaum hari ini.

“Ia sungguh mengagumkan dan saya benar-benar menikmati persembahan itu,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment