Phee Boon Poh |
GEORGE TOWN, 31 Ogos (Bernama) -- Polis menahan Pengerusi Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan mengambil keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bagi membantu siasatan berhubung pasukan yang ditubuh kerajaan negeri pimpinan DAP itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata Phee, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di George Town, Ahad.
"Phee hadir di IPD Timur Laut pukul 4.30 petang dan polis menahannya untuk siasatan lanjut manakala Lim Guan Eng dibebaskan selepas polis merekod keterangannya," kata Mior Faridalatrash ketika dihubungi BERNAMA.
Beliau berkata polis juga mengambil keterangan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayerdi.
Sehingga pukul 6 petang, sejumlah 156 anggota PPS termasuk Phee dan tujuh wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung pasukan itu, yang didakwa ingkar amaran untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Pada sebelah pagi, polis menahan 154 anggota PPS selepas mereka menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan di Padang Kota.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata kesemua anggota PPS, termasuk tujuh wanita itu, ditahan pada 10.15 pagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan.
Sementara itu, tinjauan BERNAMA di IPD Timur Laut mendapati beberapa ADUN, anggota keluarga PPS dan penyokong kerajaan negeri berkumpul di pintu masuk IPD berkenaan.- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment