Rakyat Malaysia Bersatu Pamerkan Kecintaan Negara
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia dari segenap lapisan dan kaum bangkit cekal daripada kedukaan tragedi MH17 mempamerkan semangat patriotisme tinggi merayakan ulang tahun kemerdekaan ke-57 di Dataran Merdeka di sini.
Mereka bersama-sama menyatukan semangat dengan lebih 14,000 peserta perbarisan dalam mempamerkan rasa cinta kepada negara, memperingati detik bendera British “Union Jack” diturunkan dan digantikan dengan kibaran bendera Malaysia yang kini dikenali sebagai “Jalur Gemilang”.
Semangat kesatuan itu ditunjukkan melalui perbarisan kawad oleh sejumlah kontinjen termasuk daripada jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta serta para anggota pasukan keselamatan yang melangkah gagah dalam acara perbarisan selain persembahan padang yang penuh berwarna warni.
Acara perbarisan sambutan kemerdekaan itu bermula tepat pukul 8.05 pagi, yang ditandakan dengan bunyi detikan jam besar di Bangunan Sultan Abdul Samad, sebanyak lapan kali, sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Pada masa yang sama, kedengaran deruan helikopter di ruang udara di atas Dataran Merdeka apabila lima buah helikopter iaitu dua EC 725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dua pesawat Augusta 109 milik Tentera Darat Malaysia (TDM), sebuah Fennec milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat lintas hormat semasa ketibaan Seri Paduka berdua.
Turut menyaksikan perbarisan yang diisi dengan persembahan yang memukau selama dua jam itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, barisan anggota kabinet dan ketua-ketua perwakilan asing.
Sebelum acara perbarisan bermula, Tuanku Abdul Halim berkenan memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan Utama yang dibarisi 107 pegawai dan anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi, yang diketuai Mejar Ameiza Mohd Ashhari.
Tembakan meriam sebanyak 14 das pula mengiringi acara menaikkan Jalur Gemilang berlangsung dengan iringan nyanyian lagu Negaraku.
Dentuman meriam 14 das itu adalah simbolik kepada 14 buah negeri dan wilayah persekutuan. Acara tembakan meriam itu dilaksanakan para anggota dari 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja.
Antara yang ketara pada acara sambutan ini ialah penyertaan ribuan golongan muda dalam persembahan acara padang membentuk pelbagai formasi menarik termasuk logo sambutan Hari Kemerdekaan, Jalur Gemilang dan peta Malaysia.
Tanggungjawab berat seperti mengetuai bacaan ikrar dan tugas membawa Jalur Gemilang gergasi turut diberikan kepada anak-anak muda.
Acara bacaan ikrar oleh sekumpulan 57 pembaca ikrar pada pagi ini diketuai oleh pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Ahmad Amsyar Ahmad Afendi, disusuli dengan laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali.
Persembahan oleh sejumlah 2,280 peserta teres koir serta 2,240 peserta persembahan padang turut mewarnai sambutan perayaan itu dan mereka membentuk formasi unik seperti perkataan dan logo-logo berkaitan kontinjen yang menyertai perbarisan di hadapan Tuanku Abdul Halim dan dif kehormat yang lain.
Sepanjang berlangsungnya majlis, sebuah zeppelin dengan imej Bapa Kemerdekaan Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berlegar-legar di ruang udara Dataran Merdeka beserta empat buah dron.
Zeppelin itu dipasang dengan kamera berteknologi tinggi yang memancarkan visual pandangan dari udara terus kepada skrin gergasi yang dipasang di Dataran Merdeka untuk tatapan pengunjung dan disalurkan terus ke stesyen televisyen yang terlibat dalam siaran langsung acara itu. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment