Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, August 31, 2014

No Comment
Alor Gajah: Teka-teki mengenai siapa pemilik sebenar nombor pendaftaran kenderaan MH370 terjawab apabila ia sebenarnya ‘harta’ seorang warga emas dari Melaka.

Sebelum ini, gambar sebuah kereta Proton Wira menggunakan nombor plat berkenaan menjadi ‘viral’ dan tersebar di laman sosial, tetapi sebenarnya ia hasil teknik pengubahsuaian gambar.

Gambar itu tersebar berikutan tragedi pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Semakan Metro Ahad mendapati nombor plat berkenaan yang didaftar pada sebuah motosikal Honda C70 adalah milik pesara tentera, Othman Ahmad, 68.

“Bertahun-tahun motosikal ini hanya terbiar di dalam bengkel anak sebelum tiba-tiba muncul seorang lelaki dari Merlimau, Jasin mahu membeli motosikal berkenaan dengan harga RM500.

“Ketika itu saya tidak sedar nombor pendaftaran motosikal berkenaan sama dengan kod pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang. Apabila anak sulung beritahu, baru saya tersedar dan tidak mahu menjualnya lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ramuan China Besar, Masjid Tanah, di sini, baru-baru ini.


Othman berkata, tidak lama selepas itu seorang lelaki mendakwa dari Mersing, Johor datang menawarkan harga sama untuk membeli motosikalnya.

Katanya, dia sekali lagi menolak kerana nombor pendaftaran MH370 ada sejarahnya yang tersendiri.

“Nombor pendaftaran MH370 menjadi satu sejarah dan hanya saya menggunakan nombor pendaftaran itu. Saya turut bersimpati dengan mangsa serta ahli keluarga penumpang serta anak kapal pesawat yang sehingga kini belum ditemui,” katanya.

Othman yang pernah bertugas di Markas 5 Briged Kem Lok Kawi, Sabah berkata, dia membeli motosikal itu pada 1979 di Masjid Tanah dan dibawa ke Sabah sebelum berkahwin dan berpindah semula ke kampungnya di Kampung Ramuan China Besar.

“Ketika itu (1979), menunggang motosikal ini cukup bergaya kerana harga kereta waktu itu mahal, jarang orang lain dapat menggunakannya, tetapi saya dapat milikinya dan dijaga elok hinggalah saya bersara,” katanya.

Othman berkata, dia sanggup menjual motosikal itu dengan nombor pendaftaran sekali jika sesuai harganya kerana berhasrat menderma sebahagian wang jualan kepada badan kebajikan dan masjid.

“Motosikal itu sudah lama rosak. Selepas berbincang dengan keluarga, daripada terbiar dan tersadai, apa salahnya saya jual jika kena dengan harganya.

“Jika ada yang sanggup beli dengan harga berpatutan, saya akan jual kerana berhasrat menderma sebahagian hasil jualan kepada badan kebajikan dan masjid, manakala selebihnya untuk kegunaan sendiri,” katanya yang mempunyai enam anak berusia 20 hingga 41 tahun.

Othman berkata, motosikal itu tidak pernah terbabit dengan kemalangan dan dia masih menyimpan geran motosikal itu dengan baik.

“Selama ini tidak terlintas pun akan dikenali kerana motosikal ini orang lain tidak pernah pandang pun tetapi selepas pesawat MH370 hilang, ramai mencari siapa pemilik kenderaan yang mempunyai nombor pendaftaran MH370.

“Saya dimaklumkan ada yang sanggup meminta bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengesan pemilik nombor kenderaan MH370 ini sebelum mereka dapat cari saya,” katanya yang kini menternak lebih 200 kambing serta ayam kampung.

Rakan Othman, Sazali Puteh, 56, berkata, mungkin ada pihak tertentu akan mengambil kesempatan berikutan nombor pendaftaran MH370 menjadi perhatian.

“Saya harap Othman berhati-hati dengan pihak yang ambil kesempatan dengan apa dimiliki dan pastikan individu membelinya (motosikal) ikhlas dan jujur,” katanya. - myMetro online

0 comments:

Post a Comment