LONDON 30 Ogos - Seorang ibu terkejut apabila menerima bil telefon berjumlah 7,000 pound (RM36,666) ekoran anaknya yang berusia 12 tahun bermain permainan video online popular, Clash of Clans menggunakan telefon bimbitnya.
Portal Mail Online melaporkan, Theresa Cox berkata, anak lelakinya, James tidak mengetahui bahawa permainan video itu mengenakan caj harian sebanyak 240 pound (RM1257.14).
Wanita itu berkata, dia tidak mampu membayar bil tersebut dan mungkin terpaksa menjual keretanya bagi melunaskan hutang berkenaan.
"Saya mungkin terpaksa menjual kereta saya untuk melunaskan bil ini namun saya memerlukan kereta itu untuk bekerja.
"Saya tidak sangka kejadian ini boleh berlaku. Anak saya membeli dua aplikasi permainan video Clash of Clans pada harga 5.98 pound (RM 31.32) dan syarikat telekomunikasi pula mengenakan caj pada kadar 240 pound (RM1257.14) sehari bagi membolehkan dia terus bermain permainan itu," jelas Cox.
Cox berkata, dia juga tidak diberikan sebarang maklumat mengenai pembelian tersebut menyebabkan tidak sedar dengan apa yang berlaku.
Sementara itu, James memberitahu, dia berasa keliru dengan apa yang berlaku dan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara tersebut.
Bagaimanapun, Cox tidak menyalahkan anaknya atas kesalahan tersebut dengan menyatakan, James nampak bersemangat ketika bermain permainan video di dalam telefon bimbitnya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment