ALOR SETAR – Pembantu khas Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Bendahara, Tunku Annuar Sultan Badlishah diserang empat lelaki di resort lima bintang di Phuket, Thailand dalam kejadian Rabu lalu.
Mangsa, Mohd Sobri Said cedera di kepala, namun dilapor stabil.
Menurut laporan Phuket Wan, mangsa dipukul empat lelaki ketika memasuki bilik hotel yang sepatutnya didiami Tunku Annuar, yang merupakan adinda kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Sebelum itu, mangsa menyarankan agar dibuat pertukaran bilik hotel berikutan bimbang perkara tidak diingini berlaku kepada Tunku Annuar, tengah malam kejadian.
Ketika mangsa berjalan masuk ke dalam bilik itu, dia diserang termasuk dipukul teruk di kepala sehingga berdarah.
Berdasarkan maklumat awal polis Thailand, mangsa mendakwa diserang empat lelaki berbangsa Thai dan Malaysia. Suspek dipercayai guna kad akses bilik hotel untuk masuk ke bilik jam 10.30 malam.
Ketua Istiadat Istana Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, sejurus kejadian, Tunku Annuar dan rombongan terus pulang ke negara ini.
“Saya dimaklum tiada kecederaan babitkan ahli rombongan lain termasuk tiada barangan berharga dicuri. Beliau segera pulang bagi memastikan keselamatan beliau dan rombongan,” katanya.
Tunku Annuar berada di Phuket sejak 27 Mei menghadiri persembahan FantaSea untuk menerima plak kenangan daripada penganjur, pada malam sebelum kejadian.
Rombongan kerabat itu menempah 10 bilik hotel di Patong’s Millennium Resort bersebelahan Komplek Beli Belah Jungceylon.
Dalam perkembangan sama, tiga lelaki ditahan di Sadao, Songkhla, petang semalam dipercayai ada kaitan dengan serangan terbabit.
Komander Polis Phuket, Mejar Jeneral Chote Chawanwiwat berkata, suspek turut curi pasport, kad pengenalan Malaysia, sebuah iPhone5, 14,660 baht dan RM640.
“Dua daripada empat lelaki yang menyerang mangsa ditahan dan dibawa ke Phuket untuk siasatan.
Seorang daripada mereka ditahan di sempadan Sadao dan seorang lagi di Wilayah Trang,” katanya, yang dipetik dari Phuket Wan.
Seorang daripada mereka ditahan di sempadan Sadao dan seorang lagi di Wilayah Trang,” katanya, yang dipetik dari Phuket Wan.
Suspek yang ditahan dikenali sebagai Prakong Lisopa, 31, dan Sakorn Sisopa, 30.
“Dua lagi yang diburu adalah rakyat Malaysia. Motif serangan masih dalam siasatan, termasuk sama ada serangan disasarkan kepada Tunku Annuar atau pembantu khas beliau,” katanya. – SINAR HARIAN
0 comments:
Post a Comment