KUANTAN – Tiga lelaki yang cuba menyamun sebuah rumah di Sungai Ular, di sini, lari lintang pukang apabila digertak dengan pedang oleh tuan rumah dalam kejadian awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, penjenayah terbabit bagaimana pun sempat melarikan beberapa barangan berharga milik anak mangsa termasuk kamera digital, telefon bimbit, jam tangan serta barangan kemas bernilai kira-kira RM5,000.
Anak sulung mangsa, Nurul Hidayah Akmal Mazlan, 22, berkata, ketika kejadian bapanya, Mazlan Ismail, 46, serta ibunya, Noraini Mamat, 42, sedang tidur di bilik utama manakala dia bersama dua adiknya, Nurul Alifah Ilyana, 15, dan Mohammad Adam Haris, 3, tidur di ruang tamu.
Menurutnya, penyamun yang memakai topeng dan bersenjatakan parang serta alat pemotong besi itu dipercayai masuk melalui pintu gelongsor selepas mengumpil jeriji berdasarkan kesan yang ditemui dan mereka turut membawa lima dawai untuk tujuan mengikat kami.
“Apabila terjaga dari tidur, saya mendapati kedua tangan sudah diikat dengan dawai malah penyamun terbabit mengarahkan saya berdiam diri serta mengugut bahawa mereka memiliki pistol.
“Sebelum itu, mereka menggeledah bilik saya dan adik serta mengambil beberapa barangan berharga milik kami,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Katanya, kedua adiknya yang tidur berdekatan tidak diusik malah mereka langsung tidak menyedari kejadian itu kerana tidur nyenyak.
“Penyamun terbabit kemudian mengarahkan saya mengambil kunci bilik orang tua kami dan ketika mahu membuka pintu bilik berkenaan, mereka bertiga berdiri di belakang saya dan seorang daripadanya cuba untuk membuka pintu.
“Belum sempat mereka berbuat demikian tiba-tiba pintu bilik terbuka dan bapa berdiri di muka pintu sambil memegang pedang menyebabkan semua penyamun terbabit panik.
“Bagaimanapun, ketiga penyamun itu akhirnya melarikan diri dan ayah sempat mengejar hingga depan pintu tapi mereka berjaya meloloskan diri,” katanya.
Nurul Hidayah berkata, ketiga-tiga penjenayah itu dipercayai melarikan diri menggunakan kereta yang diletakkan kira-kira 500 meter daripada rumahnya.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asistan Superintendan Noor Asyikin Shamsuri ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata. - Sinar Harian online
0 comments:
Post a Comment