DUNGUN – Tragedi lemas yang meragut nyawa seorang pelajar di Air Terjun Tasek Puteri, dekat sini, petang Selasa lalu tidak menghalang warga komuniti untuk terus beriadah di pusat rekreasi tersebut.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai masih mengunjungi kawasan berkenaan sempena cuti hujung minggu.
Pengunjung, Norhayati Idris, 35, berkata, pusat rekreasi itu masih menjadi pilihannya untuk menghabiskan masa cuti bersama keluarga walaupun tahu kolam yang dikhaskan untuk aktiviti mandi-manda itu sudah meragut nyawa seorang pengunjung beberapa hari lalu.
“Sebagai penduduk tempatan, kalau tak datang berkelah di sini, mana lagi kami hendak pergi.
“Di sini bukannya ada pusat beli-belah atau taman tema, hanya air terjun inilah yang menjadi tumpuan kami,” katanya.
Seorang pekerja lombong, Mustafa Abdul Rahman, 48, berkata, hanya sesetengah sudut di kolam berkenaan dilarang untuk aktiviti mandi-manda, selebihnya masih selamat untuk aktiviti riadah.
Katanya, apa yang penting keselamatan diutamakan dan ibu bapa jangan leka ketika anak bermain air.
“Kalau anak hendak mandi, pergi di tempat dikhaskan, jangan mandi di kawasan larangan, barulah keselamatan terjamin,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, Selasa lalu, pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail Dungun, Sumayyah Mukhtar, 14, lemas ketika mandi bersama tiga beradiknya yang lain di kolam Air Terjun Tasek Puteri.
Mangsa meninggal dunia kira-kira jam 9.20 malam ketika menerima rawatan di Hospital Dungun. – Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment