ALOR SETAR – Polis Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melancarkan Ops Cantas Khas Along dalam usaha membanteras kegiatan sindiket pinjaman wang haram atau Along dan menghapuskan iklan pinjaman wang haram.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah DSP Harison Othman berkata dalam operasi tersebut pihaknya menurunkan semua iklan haram tersebut yang diletakkan di tempat awam.
Bagi tempoh Januari hingga Disember ini, 10 kertas siastan telah dibuka dan 19 tangkapan dibuat berkaitan kes Along manakala pada tahun lepas enam kertas siasatan dibuka dan tujuh suspek ditahan, katanya kepada pemberita dalam operasi menurunkan iklan pinjaman wang haram di Jalan Taman Rakyat di sini hari.
Di KUCHING, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Supt Mohd Firdaus Abdullah berkata sembilan individu dipercayai terlibat kegiatan Along ditangkap di negeri ini bagi tempoh Januari hingga bulan ini.
Daripada jumlah itu, tiga orang telah didakwa di mahkamah kerana menjalankan kegiatan peminjaman wang tanpa lesen, katanya dalam sidang media selepas mengetuai Ops Cantas Khas untuk merampas dan menurunkan iklan pinjaman wang haram di sekitar bandar raya ini dan di Kota Samarahan.
Sebanyak 300 poster iklan berkenaan pinjaman wang segera dirampas dalam operasi itu yang turut disertai pegawai penguatkuasa Majlis Bandar Raya Kuching Selatan, Dewan Bandar Raya Kuching Utara dan Majlis Daerah Padawan.
Firdaus juga berkata nombor telefon pada iklan itu akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi tujuan siasatan dan tindakan. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment