KOTA BHARU – Pejabat di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan di Jalan Pasir Mas-Salor di sini dipecah masuk dipercayai untuk mencari maklumat sulit, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baharu Supt Idris Abd Rafar.
Beliau berkata kejadian itu disedari seorang pembantu tadbir yang berkhidmat di bangunan berkenaan kira-kira 7.30 pagi semalam ketika mahu memulakan tugas.
“Ketika pengadu masuk kerja di Mahkamah Syariah tersebut mendapati pejabat di aras dua, lima dan enam telah dipecah masuk dengan beberapa bilik dan almari fail di aras berkenaan turut diselongkar.
“Selain itu, kamar Ketua Hakim dan Bilik Pegawai Penyelidik di aras enam turut diselongkar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Idris berkata siasatan awal mendapati, suspek dipercayai masuk melalui tingkap di aras dua dengan menggunakan tangga yang ditinggalkan kontraktor di tempat kejadian.
“Terdapat kesan umpilan di beberapa pintu di aras dua, lima dan enam dan suspek dipercayai menyelongkar almari yang mengandungi fail, bagaimanapun tidak mengambil barang berharga.
“Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak membantu kerana hanya menampakkan kelibat sahaja berikutan pencahayaan yang kurang. Siasatan juga tidak dapat menimbulkan cap jari yang sempurna di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata pada hari kejadian pengawal keselamatan ada membuat rondaan setiap dua jam sekali bermula pukul 12 malam dengan rondaan terakhir adalah pada pukul 5 pagi. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment