KUALA LUMPUR – Pemuda Gerakan mempersoalkan niat sebenar badan bukan kerajaan (NGO) propembangkang kerana mahu mengadakan perhimpunan haram bagi membantah kenaikan kos pada 31 Disember ini.
Ketuanya, Tan Keng Liang berkata, demonstrasi bagi membantah kenaikan kos sara hidup tidak semestinya perlu diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini kerana banyak tarikh dan lokasi lain boleh dipilih untuk mengadakan perhimpunan itu.
“Kenapa perlu diadakan pada sambutan Tahun Baharu 2014. Ini sebenarnya cuma satu politik yang tidak matang dan sopan memandangkan beberapa pemimpin pembangkang akan menyertainya,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Keng Liang berkata, perhimpunan itu merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana ia mengganggu sambutan malam Tahun Baharu 2014 oleh rakya yang ingin menyambutnya secara aman.
Menurutnya, perhimpunan itu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas secara besar-besaran di sekitar Dataran Merdeka dan adalah malang jika sambutan tahun baharu kali ini itu dicemari dengan huru-hara.
Katanya, penganjur perhimpunan itu tidak mengambil iktibar daripada kekecohan yang berlaku dalam perhimpunan Bersih sebelum ini yang mengakibatkan kecederaan dan kekecohan.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda Gerakan menggesa NGO terbabit supaya menghentikan rancangan mereka mahu mengadakan perhimpunan haram di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini.
0 comments:
Post a Comment