PENYANYI veteran Nash, 54, mendedahkan yang dia berhasrat untuk menamatkan zaman dudanya pada tahun 2014.
Bercakap kepada mStar online, vokali kumpulan Lefthanded itu berkata, pada usianya sekarang dia ingin mencari seorang isteri yang boleh menjadi penemannya sehingga ke akhir hayat.
“Jika saya ingin berkahwin lagi ia bukan kerana nafsu tetapi saya ingin seorang isteri yang dapat menemani dan melengkapi hidup saya sehingga akhir hayat,” katanya.
Nash merancang untuk menamatkan zaman dudanya dengan kekasihnya yang telah dikenali sejak tiga tahun lalu.
“Jika diizinkan Allah saya mahu berkahwin pada tahun hadapan. Bagaimanapun itu hanya perancangan dan berharap semua peminat doakan saya,” katanya.
Jelas Nash, pada usianya kini, dia tidak terlalu memikirkan perkara-perkara remeh dalam menjalinkan hubungan kerana menganggap ia tidak lagi sesuai dengan dirinya.
Nash juga berkata, dia kini banyak menghabiskan masa bersama cucu sulungnya yang berusia setahun.
“Tiada apa yang lebih penting selain keluarga dan kehadiran cucu sulung menambahkan seri keluarga saya.”Saya banyak menghabiskan masa dengan cucu sekiranya tiada persembahan pentas atau kerja-kerja persatuan,” katanya lagi.
Hasil perkahwinan terdahulu, Nash dikurniakan tiga cahaya mata, Fareena Nasha, 24, Najeeha Nasha, 22 dan Mohd Shameer Nasha, 16.
Nash juga mempunyai seorang anak angkat, Jasmin Hanis Nasha, 14.
Nash juga pernah berkahwin dengan pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Datuk Sosilawati Lawiya pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor sebelum bercerai pada 26 Mei 2009. -mStar
0 comments:
Post a Comment