Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, December 31, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan dari semasa ke semasa akan melaksanakan inisiatif yang sesuai di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kos Sara Hidup bagi menampan kesan kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, dalam perutusan tahun baharu, berkata kesan kenaikan harga barang ke atas beban kos sara hidup rakyat juga akan terus dipantau bagi memastikan kesejahteraan hidup mereka tidak terjejas.

“Kerajaan mendengar keluh-kesah rakyat dengan penuh rasa prihatin. Kerana itu, kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah mengurangkan beban kos sara hidup yang sebahagian besarnya terkandung dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum ke-13 dan Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri,” katanya.

Muhyiddin berkata antara inisiatif yang diambil dalam usaha mengurangkan beban rakyat termasuk memperluas pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan RM100 kepada setiap pelajar, pemansuhan yuran persekolahan, pemberian bantuan makanan dan pinjaman buku teks.

Insurans bas sekolah, pemberian Baucar Buku 1Malaysia, pembukaan lebih banyak pasar tani, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) selain jualan terus dari kilang bagi memastikan harga yang berpatutan untuk produk makanan dan keperluan asas serta bantuan lain bagi meringankan beban sara hidup rakyat, katanya.

“Langkah-Langkah ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan rakyat dan tetap memberi keutamaan kepada program untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat,” kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan.

Beliau menegaskan semua langkah yang dilaksana adalah bagi memastikan Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi dengan rakyat menikmati kesejahteraan dan kualiti hidup yang lebih baik.

Menyentuh langkah rasionalisasi yang dilaksanakan kerajaan, Muhyiddin berkata ia dilakukan dengan berhati-hati dan secara berperingkat bagi memastikan kesan minimum dan tidak membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

“Penjimatan hasil langkah rasionalisasi subsidi ini secara tidak langsung akan dipulangkan kembali kepada rakyat, terutama golongan sasar, supaya kesan kenaikan kos sara hidup rakyat dapat diimbangi.

“Pendekatan ini bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan pada masa sama, memastikan kesejahteraan rakyat tidak terjejas,” jelasnya.

Muhyiddin, dalam pada itu, turut mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung sebelas langkah bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan termasuk memotong elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus.

“Saya percaya langkah-langkah penjimatan perbelanjaan sektor awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam adalah tepat pada masanya,” katanya.

Beliau berkata ketika rakyat sedang menanggung beban kenaikan kos sara hidup, adalah wajar pucuk pimpinan serta pengurusan tertinggi sektor awam melakukan sedikit pengorbanan.

“Hasil penjimatan perbelanjaan kerajaan melalui pemotongan elaun keraian dan beberapa kemudahan lain yang dinikmati sebelum ini dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

“Saya juga percaya langkah penjimatan perbelanjaan sektor awam ini dapat menjamin perbelanjaan berhemah diamalkan dengan lebih cekap oleh sektor awam di samping mengelakkan ketirisan,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan juga berharap rakyat dapat bersama-sama mengharungi cabaran kenaikan kos sara hidup serta tidak mudah terjebak dengan hasutan pihak tertentu agar turun ke jalanan bagi memprotes kenaikan harga barang dan menggulingkan kerajaan secara tidak demokratik.

“Walaupun pada jangka pendek terasa sedikit membebankan namun akan memberi manfaat yang lebih besar dan mapan pada masa hadapan.

“Turun ke jalanan bukanlah cara untuk menyelesaikan masalah sebaliknya akan menimbulkan kekacauan dan mengusutkan lagi keadaan,” katanya.

Beliau juga percaya masalah dapat diselesai apabila rakyat dan kerajaan berganding bahu mengharungi cabaran serta mencari jalan penyelesaian bersama.

“Atas semangat ini, kerajaan mengalu-alukan sebarang pandangan dan saranan rakyat yang dapat membantu kerajaan melaksanakan langkah-langkah yang lebih komprehensif untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dalam keadaan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu,” katanya.

Muhyiddin turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2014 kepada seluruh rakyat Malaysia dan berharap ia akan memberi sinar harapan kepada semua. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment