KUALA LUMPUR – Sebuah banglo tiga tingkat milik bekas pengurus syarikat perladangan musnah dalam kebakaran di Jalan Burhanuddin Helmi 5, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah bilik di tingkat bawah banglo berkenaan sebelum marak hingga memusnahkan keseluruhan bangunan itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) TTDI Hamdan Maat berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 6.40 petang dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.
Difahamkan, ketika kejadian, pemilik rumah berusia 61 tahun, isteri dan seorang anak lelaki berusia 20-an berada dalam rumah berkenaan dan menyedari kejadian itu.
Pemilik yang dikatakan mempunyai enam anak itu sudah lebih 20 tahun menetap di banglo mewah berkenaan yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.
Menurut Hamdan, pihaknya dibantu lima jentera dari BBP Hang Tuah, Sri Hartamas dan Pantai bersama 38 pegawai dan anggota.
“Sebaik tiba, api sedang marak, namun tiga mangsa yang berada dalam rumah sempat menyelamatkan diri. “Kita terpaksa mendapatkan bantuan jentera careka putar (TTL) bagi memadamkan kebakaran dari bahagian bumbung rumah sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya 40 minit kemudian.
“Kejadian itu menyebabkan banglo berkenaan musnah 90 peratus. Kita masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam. – Harian Metro
0 comments:
Post a Comment