Ampang – Penyampai radio yang baru bergelar pengantin baru, Linda Onn enggan bertemu media bagi memberi sebarang kenyataan berhubung majlis pernikahan di kediamannya di Setia Hills, Bukit Indah di sini, petang semalam.
Linda atau nama sebenar Rozlindah Onn, 36, yang hanya diwakili ahli keluarga juga pengarah filem, Razif Rashid berkata, penyampai Suria FM itu tidak bersedia berkongsi butiran majlis kerana sibuk melayan sanak-saudara.
Menurut Razif, butiran pernikahan itu akan dikongsi menerusi akaun Twitter miliknya menjelang malam nanti (malam tadi) bagi berlaku adil kepada semua.
“Sebenarnya kita tak jemput media pun. Majlis ini terlalu tertutup dan saya minta maaf tak dapat nak beritahu apa-apa maklumat.
“Untuk hari ini, minta maaf dia (Linda) tak bersedia jumpa (media). Dia akan kongsi (maklumat nikah) nanti,” katanya.
Terdahulu, jurugambar yang membuat liputan tidak dibenar merakamkan sebarang gambar majlis terbabit manakala wartawan pula diminta menunggu di pekarangan rumahnya sehingga majlis selesai.
Bagaimanapun, selepas majlis selesai Linda enggan bertemu media untuk ditemu ramah.
Malah, pintu pagar tertutup rapat sedangkan majlis keramaian berlangsung di dalam rumah.
Difahamkan, Linda bernikah dengan lelaki berdarah kerabat diraja Johor berstatus duda dikenali sebagai Ungku Azhar, 40-an.
Majlis pernikahan itu dipercayai berlangsung selepas solat Asar secara tertutup dan hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat.
Tiada sebarang pengesahan mengenai maklumat pengantin lelaki dan majlis terbabit diperoleh. – Harian Metro
0 comments:
Post a Comment