Kaji Semula Nama Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari
Kuantan: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diharap dapat mengkaji semula nama Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, di sini, yang dianggap tidak sesuai serta menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak di peringkat negeri.
Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail berkata, persoalannya mengapa pihak terbabit menggunakan nama Mokhtar Dahari sedangkan bekas pemain Selangor dan kebangsaan itu tidak banyak berjasa kepada negara.
Katanya, jika dibandingkan dengan beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Ghani Minhat ternyata dia lebih banyak menyumbang tenaga untuk melonjakkan imej negara di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, KBS seharusnya mengambil kira pelbagai sudut sebelum memutuskan nama akademi bola sepak berkenaan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu.
"Saya kecewa apabila KBS membuat keputusan tanpa mendapatkan nasihat atau sekurang-kurangnya pandangan ikhlas daripada pemimpin setempat kerana akademi berkenaan terletak di negeri ini.
"Saya berpendapat sebagai menghargai jasa dan pengorbanan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang memimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selama 30 tahun, lebih sesuai akademi bola sepak berkenaan dikaitkan dengan nama baginda.
"Justeru, saya berharap KBS dapat mengkaji semula nama akademi bola sepak terbabit dalam usaha menjaga imej semua pihak," katanya yang sebelum ini menyuarakan pandangan berkenaan di Dewan Rakyat.
Abdul Manan berkata, pihak terbabit masih boleh menggunakan nama beberapa lagenda pemain bola sepak negara seperti Datuk Jamal Nasir Ismail, Datuk Soh Chin Aun, James Wong, Hassan Sani dan Santok Singh tetapi hanya membabitkan dewan, padang dan bilik mesyuarat bukan akademi berkenaan.
Abdul Manan berkata, tindakan KBS menggunakan nama Mokhtar Dahari juga turut menimbulkan rasa kurang senang beberapa lagenda bola sepak negara yang berpendapat nama mereka juga layak diabadikan pada akademi berkenaan. - Harian Metro
0 comments:
Post a Comment