Israel Lulus Penempatan Haram Di Baitulmuqaddis
BAITULMUQADDIS – Kerajaan Israel meluluskan pembinaan hampir 1,000 buah rumah untuk pendatang haram Yahudi di satu kawasan penempatan yang ditawan rejim Zionis di Baitulmuqaddis Timur, kata seorang pegawai semalam.
“Kerajaan membuat keputusan bagi meneruskan rancangan membina lebih 1,000 buah rumah untuk pendatang haram Yahudi di Baitulmuqaddis Timur.
“Sebanyak 400 buah rumah akan dibina di Har Homa manakala lebih 600 buah rumah lagi di Ramat Shlomom,” kata seorang pegawai di Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Bagaimanapun, pegawai itu enggan mengulas sama ada langkah tersebut memberi kesan secara politik dan diplomatik terhadap Israel selepas masyarakat antarabangsa mengutuk tindakan penduduk Yahudi merampas beberapa kediaman penduduk Palestin di Silwan.
Amerika Syarikat yang juga sekutu kuat Israel turut memberi amaran tindakan penduduk Yahudi merampas rumah penduduk Palestin itu bakal menjejaskan perjanjian damai antara kedua-dua belah pihak.
Tindakan penduduk haram Yahudi menduduki beberapa buah rumah penduduk Palestin di Silwan mencetuskan bantahan penduduk yang menyebabkan seorang remaja mati ditembak tentera Israel pada minggu lalu.
Seorang aktivis pemantau penempatan haram Yahudi di Palestin, Lior Amichai berkata, Israel mengambil kesempatan terhadap ketegangan yang memuncak untuk meneruskan pembinaan tersebut.
“Inilah masa terbaik untuk melakukan perkara itu kerana kini Baitulmuqaddis sedang bergolak,” katanya.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada kelulusan tersebut bermakna kerajaan Israel hampir memulakan projek pembinaan di lokasi berkenaan atau hanya meluluskan beberapa peringkat rancangan itu. – AFP
0 comments:
Post a Comment