Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, October 26, 2014

No Comment


MADRID – Cristiano Ronaldo meledak gol membantu Real Madrid bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 3-1 menentang musuh tradisi, Barcelona dalam pertembungan ‘El Clasico’ pertama musim ini di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.

Kemenangan turut menghadiahkan pelawat kekalahan pertama dalam La Liga Sepanyol yang hadir selaku pendahulu liga.

Barca hadir ke Bernabeu dengan semangat tinggi dengan penampilan semula penyerang sensasi, Luis Suarez yang beraksi buat pertama kali selepas menjalani penggantungan selama empat bulan lalu.

Dan ia ditampilkan apabila pemain antarabangsa Uruguay itu beraksi cemerlang menjadi perancang kepada gol pembukaan Barca yang dijaringkan bintang Brazil, Neymar seawal minit keempat perlawanan.

Begitupun, bintang terbaik dunia, Ronaldo menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-35 yang turut mengakhiri rekod lapan perlawanan tanpa bolos Barca dalam kempen musim ini.

Pepe kemudian menghukum kerapuhan jentera pertahanan Barca apabila meledak gol kedua tuan rumah menerusi tandukan pada minit ke-50 sebelum penyerang Perancis, Karim Benzema melengkapkan jumlah jaringan pada minit ke-61.

“Kamu sentiasa mahu penampilan sulung kamu berakhir dengan kemenangan,” kata Suarez. “Kami perlu melupakannya.”

Kejayaan menewaskan Barca membawa Real di kedudukan kedua liga, satu mata di belakang Barca dengan catatan cemerlang sembilan kemenangan daripada sembilan perlawanan di semua kejohanan berturut-turut musim ini.

“Pasukan ini menakjubkan daripada segala aspek,” kata pertahanan Real dan Sepanyol, Sergio Ramos. “Sekalipun kami ketinggalan pada awalnya, kami tetap jelas yang kami mahu menguasai perlawanan dan tidak melepaskan penguasaan bola kepada mereka.”

Aksi pemain terbaik dunia empat kali Lionel Messi juga tidak begitu menjadi buat Barcelona sekalipun bintang Argentina itu hanya kurang satu gol untuk menyamai rekod gol terbanyak dalam sejarah La Liga.

Peluang terbaiknya hadir di awal permainan juga menerusi gerakan menarik Suarez namun penjaga gol Real, Iker Casillas beraksi cemerlang untuk menafikan cubaannya.

Jurulatih Real, Carlo Ancelotti jelas berbangga dengan persembahan pemainnya.

“Kami tidak hilang tumpuan selepas melepaskan gol,” katanya. “Kami kekal dengan perancangan kami dan saya gembira dengan untuk melihat kami kekal dengan rentak permainan yang tinggi selepas kemenangan ke atas Liverpool.”

Rakan sejawatannya di Barca, Luis Enrique turut mengakui Real beraksi lebih baik.

“Madrid layak untuk menang,” kata Enrique. “Kekalahan ini jelas kerana Madrid lebih baik berbanding kami dan kami perlu memperbaiki kesilapan yang dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Valencia kembali menghuni ke tangga ketiga liga, dua mata di belakang Barcelona selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Elche.

Begitupun, Sevilla boleh menyamai pungutan mata dimiliki Barcelona seandainya mencatat kemenangan ke atas Villarreal, hari ini. – AP/ BH Online

0 comments:

Post a Comment