Nasi Berlauk Pak Yeh RM1 Sepinggan
TUMPAT - Bagaikan tidak percaya masih ada peniaga menjual nasi berlauk dengan harga RM1 sepinggan.
Di kedai kopi Pak Yeh di Kampung Bendang Kerian di sini, dengan RM1, pelanggan boleh menikmati sepinggan nasi dengan pilihan gulai ikan tongkol atau gulai ayam.
Jika nasi berlauk dengan secawan teh O, pelanggan hanya perlu membayar RM1.60 sen, manakala nasi berlauk bersama teh, harganya RM1.80 sen.
Disebabkan harga murah, kedai Pak Yeh yang dibuka seawal jam 7.30 pagi itu menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat, daripada yang bekerja pejabat, buruh, pelajar, mahu pun penduduk Kampung Bendang Kerian.
Pak Yeh atau nama sebenarnya, Idris Awang, 67, berkata, dia berniaga sejak 30 tahun lalu bermula dengan nasi berlauk berharga 30 sen sepinggan.
Menurutnya, berikutan kenaikan kos bahan mentah, memaksanya menaikkan harga nasi berlauk beberapa kali dan kekal dengan harga RM1 sehingga hari ini.
“Saya masih dapat untung walaupun tidak seberapa kerana inilah cara saya membantu golongan kurang berkemampuan dan juga golongan pelajar.
“Jika dinaikkan harga, kasihan pula budak sekolah. Lagipun, kedai saya ni usang dan meja makan pun terhad, malu pula mahu jual nasi dengan harga yang mahal," katanya yang turut dibantu isteri, Asmah Ismail, 53, sebagai tukang masak dan anaknya, Adam, 24, sebagai pembantu kedai.
Seawal jam 3 pagi lagi, Asmah akan bangun menyediakan lauk-pauk untuk dijual setiap hari di kedai berhadapan Klinik Kesihatan Bendang Kerian itu.
Sementara itu, seorang pelanggan tetapnya, Aziz Abdul Rahid, 64, berkata, dengan harga yang murah, dia dapat makan sepinggan nasi yang sedap dan mengenyangkan, secawan teh O dan sebiji kuih.
"Tiada kedai lain yang menjual harga semurah ini dan setiap hari jam 8 pagi, saya mesti datang makan di kedai Pak Yeh dan turut membelinya untuk keluarga di rumah," katanya.
Sepein Deraman, 67, pula berkata, dia menjadi pelanggan di kedai Pak Yeh sejak berumur 15 tahun.
Menurutnya, dahulu nasi berlauk Pak Yeh dijual dengan harga 30 sen tetapi kini RM1 dan baginya ia masih murah. - Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment