Abu Dhabi – Timur Tengah bakal menjadi pusat hotel konsep baru yang membawa perubahan besar kepada industri pelancongan dengan pengenalan Hotel Angkasa.
Dubai, Abu Dhabi dan Doha adalah tiga bandar raya yang berpotensi menempatkan Hotel Angkasa pertama di rantau itu.
Syarikat Mobilona Space Hotels yang berpangkalan di Amerika Syarikat berkata, konsep yang dibawa mereka adalah mudah.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Jerome Bottari berkata, pengunjung akan melalui pengalaman luar biasa kerana berpeluang meneroka galaksi tanpa perlu meninggalkan bumi.
“Kami menerima cadangan pembinaan Hotel Angkasa di Doha, Abu Dhabi dan Dubai,” katanya. Minggu lalu Mobilona Space Hotels mengumumkan rancangan mereka membina Hotel Angkasa Mobilona setinggi 300 meter dan dilengkapi spa bebas graviti.
Syarikat itu berkata, hotel berkenaan juga dilengkapi terowong angin di pulau buatan manusia di luar pantai Barcelona. Kata Bottari, syarikatnya merancang membuat pelaburan bernilai 1.5 bilion euro (RM5.9 bilion) untuk pembangunan projek Pulau Barcelona serta membina lebih 2,000 bilik hotel serta kediaman mewah di situ.
“Hotel Angkasa juga akan dibina di Los Angeles dan Hong Kong,” katanya. Menurut Bottari, pengumuman mengenai projek itu di Timur Tengah akan dibuat selepas pembinaan Pulau Barcelona bermula tidak lama lagi.
Katanya, bangunan yang dirancang itu dibina dengan gabungan reka bentuk dan teknologi terkini bagi membentuk suasana sesuatu tempat di dunia atau di cakerawala.
“Tingkap Hotel Angkasa diperbuat daripada kaca lutsinar yang boleh bertukar menjadi lampu bagi menghasilkan persekitaran seperti di angkasa lepas,” katanya.
Menurut Bottari, apabila penghuni mahu ‘kembali’ daripada pengembaraan itu, mereka hanya perlu menekan suis untuk memadamkan lampu berkenaan.
Lebih menarik, bilik itu juga dilengkapi permukaan unik bagi menghasilkan paparan sebaik mungkin walaupun ia dilihat dari sebarang arah.
“Kami menggabungkan pengalaman visual bagi merangsang semua lima panca indera pengunjung menikmati dunia di sekitar mereka, mendengar bunyi, menghidu bau-bauan kegemaran, menyentuh objek dan merasa sendiri apa yang diinginkan,” katanya.
Apabila siap, suite hotel dan kediaman mewah itu akan dijual pada harga antara RM1.9 juta hingga RM10.2 juta, manakala penthouse bernilai daripada RM15.3 juta sehingga RM78.4 juta Jika anda ingin menginap di hotel itu, kadar sewaan biliknya adalah antara RM1,175 hingga lebih RM 5,800 satu malam. – AP
0 comments:
Post a Comment